Kenaikan harga telur hanya ramalan – Mat Sabu

Mohamad dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah PPN Perak di Parit Buntar pada Selasa.
Mohamad dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah PPN Perak di Parit Buntar pada Selasa.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan jangkaan kenaikan harga telur sehingga tiga sen sebiji selepas penghapusan subsidi bermula 1 Ogos depan sebagai ramalan semata-mata.

Beliau berkata, kementeriannya akan memantau perkembangan situasi itu dari semasa ke semasa dan berharap tiada lonjakan harga akan berlaku, sama seperti situasi selepas pengapungan harga ayam tahun lalu. "Itu ramalan. Kita lihatlah perkembangannya. Dulu bila harga ayam diapungkan, ramai jangka harga akan naik, tetapi sebaliknya berlaku.

Kita harap kali ini pun sama," katanya kepada pemberita sempena perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak di sini pada Selasa. Perasmian pusat tersebut disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Terdahulu media melaporkan, Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menjangkakan harga telur ayam meningkat sekiranya kos pengeluaran ketika ini masih kekal 38 sen sebiji.

Timbalan Presidennya, Lee Yoon Yeau berkata, lebih 100 pengusaha ladang ternakan di seluruh negara yang mengeluarkan antara 33 hingga 35 juta telur sehari terpaksa berbuat demikian setelah kehilangan kadar subsidi lima sen sebiji yang dinikmati bermula 1 Mei hingga 31 Julai ini. Mengulas lanjut, Mohamad berkata keputusan mengenai penamatan subsidi dibuat selepas beberapa sesi libat urus bersama jabatan dan agensi berkaitan di peringkat kementerian.

"Libat urus telah dilakukan berkali-kali oleh ketua setiausaha dan pasukan beliau. Keputusan yang dibuat adalah selepas mengambil kira pelbagai faktor. Sekarang ini pun harga bahan makanan ternakan seperti soya dan jagung menunjukkan penurunan sedikit," jelasnya.

Beliau yakin, tidak akan berlaku pembelian panik oleh pengguna memandangkan pasaran kini stabil dan pelbagai alternatif bekalan disediakan kerajaan. "Pembelian panik insya-Allah tidak berlaku. Sekarang ini kita ada banyak saluran jualan seperti Jualan Rahmah dan Agro Madani. Kalau berlaku sekalipun, kita mampu tampung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!