Balasan si tukang cuci yang memuliakan orang lain

Paparan Facebook Taufiq yang menceritakan tentang rezeki si tukang cuci surau KLIA menarik perhatian ramai.
Paparan Facebook Taufiq yang menceritakan tentang rezeki si tukang cuci surau KLIA menarik perhatian ramai.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang tukang cuci memuliakan orang lain dibalas ALLAH apabila dia memperoleh bagasi berjenama berharga ratusan ringgit selepas beberapa minit ikhlas membuat kebaikan.

Kisah itu dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif The Pro Parenting, Dr Taufiq Razif yang dalam perjalanan ke Jakarta, Indonesia bersama dua sahabatnya melalui status bergambar dimuat naik di Facebook.

Dr Taufiq berkata, kisah itu bermula ketika dia mahu menunaikan solat di surau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) namun bimbang beg yang mempunyai barangan dan dokumen berharga hilang.

"Masa nak masuk ke Surau tu, saya ternampak sorang tukang cuci warganegara Bangladesh berdiri sebelah tempat wuduk sambil memegang mop dan dia sapa saya dengan Assalamualaikum sambil tersenyum lebar.

"Menakjubkan, ketika saya tengah pening nak letak beg saya kat mana, si tukang cuci ini angkat beg saya dengan tangannya sendiri dan letak betul-betul di depan tempat dia berdiri," tulisnya.

Menurutnya, lelaki itu menjaga dan memerhatikan beg sepanjang dia solat di surau tersebut.

"Khidmat apakah ini? Dia santuni saya macam la saya ini seorang majikan yang membayar gajinya padahal saya satu sen pun tak pernah bayar dia. Lepas je solat entah kenapa saya terdetik nak berdoa khusus untuk dia.

"Saya angkat tangan dan saya doakan, Ya ALLAH. Kayakan dia sekaya-kayanya. Ya ALLAH masukkan tukang cuci surau ini ke dalam syurga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selesai menunaikan solat, Dr Taufiq ke kaunter daftar masuk bagasi dan di situ terdapat sahabatnya bernama Ustaz Hakim Mohd Nor yang juga Pengurus Besar Serantau Muslim di samping sebuah bagasi yang besar.

"Besar betul beg bagasi yang dia bawa. Katanya baru beli 10 minit yang lalu di Mitsui Store. Masa nak check in, eh ternyata UstazHakim tak beli 'luggage flight'. Kalau nak masukkan, kena bayar ratusan ringgit juga untuk satu bagasi.

"Fikir punya fikir, daripada bayar duit bagasi beratus ringgit tu Ustaz Hakim kata dia nak sedekahkan beg tu kepada orang lain. Ustaz Hakim siap 'offer' bagasi tu secara percuma kepada pramugari yang jaga kaunter tu lagi tapi peliknya, semua orang menolak.

"Padahal harga beg tu beratus ringgit kot! Dah la baru beli 10 minit yang lalu. Rupanya, memang rezeki beg percuma ni milik orang lain. Semua orang menolak beg percuma ni kecuali sorang saja iaitu lelaki pencuci surau yang saya doakan tadi!" katanya.

Dr Taufiq yang juga seorang usahawan mengakui keajaiban rezeki daripada ALLAH adalah luar biasa kerana apabila memuliakan dan membahagiakan orang lain, rezeki itu akan singgah dan mendekati kita.

"Saya teringat kata-kata nasihat daripada seorang motivator terkenal Indonesia, Pak Nasrullah, ALLAH titipkan rezeki manusia pada memuliakan dan membahagiakan orang lain.

"Seperti kisah tukang cuci ni baru je beberapa minit lalu memuliakan dan membahagiakan saya dengan menjaga dan mengawasi beg saya sepanjang saya solat tadi dan sekarang ini ALLAH balas kebaikan dia pada saya itu dengan beg berharga ratusan ringgit secara percuma," katanya.

Kisah penuh pengajaran itu membuatkan netizen mengagumi kebesaran ALLAH SWT kerana Dia memberi rezeki tanpa kira siapa pun hambanya.

Netizen dikenali Roslina Mohamad Idris berkata, kisah tersebut akan disampaikan kepada anak-anaknya sebagai bekalan ilmu kelak.

"Cerita benar begini pasti saya akan ceritakan pada anak-anak saya untuk memberi motivasi dan pengajaran nilai murni untuk bekalan ilmu mereka," katanya.

Siti Noraishah Yahya juga berkata, "Masya-ALLAH, tabarakallah, sekejap ALLAH balas."

Wani Che Wan pula melahirkan pendapatnya, "Masya-ALLAH, luar biasa hebat. Memuliakan dan membahagiakan orang lain."