Wanita tertekan pedal minyak, rempuh kedai serbaneka

Kereta dipandu seorang wanita merempuh bahagian depan sebuah kedai serbaneka hari ini. - Foto pembaca
Kereta dipandu seorang wanita merempuh bahagian depan sebuah kedai serbaneka hari ini. - Foto pembaca
A
A
A

KOTA BHARU - Akibat tersalah tekan pedal minyak, sebuah kereta dipandu seorang wanita merempuh bahagian depan sebuah kedai serbaneka di stesen minyak berhampiran Jalan Pasir Mas-Tanah Merah di sini hari ini.

Wanita berusia 58 tahun itu dikatakan singgah di stesen minyak berkenaan untuk mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang terdapat di dalam kedai serbaneka tersebut.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan, Zainuddin Md Yusuf berkata, polis menerima panggilan telefon daripada orang awam pada jam 1 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Mangsa tidak sedar tertekan pedal minyak menyebabkan keretanya hilang kawalan lalu merempuh cermin kaca dan terperosok ke dalam kedai itu.

"Tidak ada sebarang kecederaan berlaku namun mangsa mengalami sakit di bahagian dada dipercayai kerana hentakan pada stereng kereta," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, difahamkan ketika kejadian tidak ramai pelanggan yang berada di dalam kedai tersebut.

"Kejadian itu menyebabkan berlaku beberapa kerosakan termasuk kereta mangsa.

"Kes ini disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas, Akta Pengangkutan Jalan 166/59," katanya.

Artikel Berkaitan: