Burukkan nama negara masuk tanpa visa haji

Laporan Sinaran Harian berkaitan visa haji.
Laporan Sinaran Harian berkaitan visa haji.
A
A
A

MUSIM haji setiap tahun pasti mendapat perhatian buat umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Tidak hairanlah jika ada isu yang timbul berkaitan dengan pengurusan jemaah haji, ia mudah menjadi polemik umum.

Bagaimanapun baru-baru ini timbul kembali isu segelintir individu yang masih keras kepala memilih untuk menunaikan haji tanpa melalui saluran rasmi Lembaga Tabung Haji (TH) dan menggunakan visa selain visa haji.

Lebih teruk, mereka memberi alasan seolah-olah kerajaan Malaysia menyekat ibadah wajib yang ingin ditunaikan mereka selain memburukkan nama negara di media sosial dan dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

Tuduhan dilempar tanpa memahami hakikat sebenar peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi dan konteks hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Perlu ditegaskan bahawa urusan ibadah haji bukan semata-mata soal peribadi, malah ia melibatkan hal ehwal keselamatan, peraturan antarabangsa, pengurusan jemaah dalam skala besar dan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan rakyat berada dalam keadaan selamat dan sah dari segi undang-undang semasa berada di luar negara.

Visa haji adalah syarat yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi. Bahkan kuota haji setiap negara adalah ditentukan berdasarkan perjanjian antara kerajan dengan kerajaan.

Justeru apabila seseorang rakyat Malaysia cuba menunaikan haji menggunakan visa pelancong atau ziarah, mereka sebenarnya melanggar syarat antarabangsa dan meletakkan diri dalam risiko penahanan, deportasi atau denda.

Kesannya pula bukan sahaja kepada individu tersebut, malah mencalar imej Malaysia sebagai negara yang patuh kepada undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Kita tidak mahu nanti kerana tindakan segelintir yang keras kepala dan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi terjejas, seperti berlaku terhadap beberapa negara sebelum ini.

Negara kita bukan hanya dikenali sebagai negara Islam progresif, malah dihormati kerana keupayaan mengurus jemaah haji dengan sistematik.

Hormatilah proses diplomasi. Tanggungjawab sebagai warganegara bukan sekadar melaungkan hak, tetapi juga mematuhi undang-undang dan menjaga nama baik negara di mata dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!