Covid-19: 117 kes positif di Singapura, 81 dibenarkan pulang

Sebahagian daripada kluster baharu membabitkan majlis makan malam persendirian di SAFRA Jurong, 333 Boon Lay Way pada 15 Februari lalu.
Sebahagian daripada kluster baharu membabitkan majlis makan malam persendirian di SAFRA Jurong, 333 Boon Lay Way pada 15 Februari lalu.
A
A
A

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan lima lagi kes jangkitan koronavirus (Covid-19) di republik itu menjadikan jumlah keseluruhan ketika ini ialah 117.

Dalam satu kenyataan hari ini, MOH berkata, daripada jumlah jangkitan baharu itu, satu adalah kes import manakala yang lain adalah sebahagian daripada kluster baharu membabitkan majlis makan malam persendirian di SAFRA Jurong, 333 Boon Lay Way pada 15 Februari lalu.

Menurut kementerian itu, kes import tersebut membabitkan seorang lelaki rakyat Perancis berusia 42 tahun yang juga pemegang pas kerja Singapura.

Beliau tidak memiliki sejarah perjalanan ke negara dan wilayah terjejas baru-baru ini namun ke Perancis, Portugal dan United Kingdom antara 8 Februari dan 3 Mac.

Mangsa yang ditempatkan di bilik isolasi Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NCID) melaporkan gejala Covid-19 pada 3 Mac semasa menaiki penerbangan Turkish Airlines dari Istanbul ke Singapura.

Sementara itu, pesakit baharu selebihnya adalah terdiri daripada rakyat Singapura yang sekali gus meningkatkan jumlah kes positif dikaitkan dengan kluster majlis makan malam persendirian di SAFRA Jurong kepada lapan orang.

Dalam perkembangan terkini situasi kes yang disahkan, MOH berkata, sejumlah 81 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan keluar dari hospital.

Daripada sejumlah 36 kes yang masih dirawat di hospital, kementerian itu berkata, kebanyakannya adalah stabil atau semakin pulih manakala tujuh dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Artikel Berkaitan:

Setakat tengah hari, MOH mengenal pasti sejumlah 3,291 kontak rapat dan daripada jumlah itu, 381 sedang dikuarantin manakala 2,910 sudah menyempurnakan kuarantin mereka. - Bernama