21 sampel diambil, siasat kes 16 pelajar keracunan

JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah mengambil 21 sampel berkaitan insiden keracunan makanan melibatkan 16 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Johor Bahru.
Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad berkata, siasatan dijalankan sebaik sahaja Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru menerima notifikasi berhubung kejadian pada Sabtu lalu.
“Pemeriksaan telah dijalankan di premis dapur dewan makan dan kafeteria institusi terbabit pada hari sama kejadian.
“Sebanyak 21 sampel telah diambil melibatkan tujuh sampel makanan, enam sampel persekitaran, lima sampel klinikal dan tiga sampel daripada pengendali makanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Dr Mohtar, premis makanan yang disyaki menjadi punca telah diarahkan tutup di bawah Seksyen 18(1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Ujarnya, PKD Johor Bahru masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan sekiranya terdapat pelajar lain yang bergejala serta mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Sebanyak 11 kes telah menerima rawatan sebagai pesakit luar manakala lima lagi tidak mendapat sebarang rawatan. Tiada pelajar dimasukkan ke wad.
"Orang ramai serta pengendali makanan dinasihati supaya sentiasa mengamalkan kebersihan dan keselamatan makanan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Sekiranya mengalami gejala keracunan makanan, segera dapatkan rawatan. JKNJ akan terus memantau perkembangan situasi ini dari masa ke masa,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan, seramai 16 pelajar MRSM Johor Bahru mengalami gejala muntah, cirit-birit dan demam yang disyaki berpunca daripada keracunan makanan.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon memaklumkan pihaknya menerima maklumat kejadian daripada pihak sekolah sekitar jam 2 petang sebelum tindakan susulan diambil oleh PKD Johor Bahru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

