Mayat tanpa pakaian ditemui terapung

Mayat seorang lelaki tanpa pakaian dan dalam keadaan kembung ditemui terapung di Sungai Kogopon, di sini pada Ahad.
Mayat seorang lelaki tanpa pakaian dan dalam keadaan kembung ditemui terapung di Sungai Kogopon, di sini pada Ahad.
A
A
A

PAPAR – Mayat seorang lelaki tanpa pakaian dan dalam keadaan kembung ditemui terapung di Sungai Kogopon, di sini, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mayat yang dianggarkan berusia lingkungan 30-an ditemui oleh orang awam yang sedang menangkap ikan di sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati mayat tersebut berada di kawasan tebing sungai yang berbatu.

“Mayat ditemui dalam keadaan tanpa pakaian dan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri. Keadaan fizikalnya ketika ditemui adalah kembung dan telah melalui proses pereputan.

“Sungai tersebut terletak tidak jauh dari jalan raya berdekatan Loji Air Kogopon dan dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaannya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Kamaruddin, pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada tubuh mayat.

“Setakat ini, punca kematian masih belum dapat dipastikan dan tiada sesiapa yang mengenali lelaki tersebut.

“Namun, terdapat beberapa tanda pengenalan pada badan mayat, iaitu tatu berbentuk bunga di lengan kanan dan subang pada telinga kiri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, setakat ini tiada laporan orang hilang membabitkan lelaki berkenaan diterima di daerah Papar.

“Sekiranya terdapat ahli keluarga, rakan atau jiran yang dilaporkan hilang dan masih belum ditemui, sila hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar atau mana-mana balai polis terdekat untuk membuat laporan polis serta hadir ke hospital bagi tujuan pengecaman mayat,” ujarnya.

Mayat tersebut akan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!