Pendapatan pesawah cukup-cukup makan

PULAU PINANG - Pendapatan yang tidak menentu menyebabkan pesawah, Halmi Desa, 42, terpaksa melakukan beberapa kerja tambahan bagi memenuhi keperluan asas keluarga.
Halmi berkata, walaupun isterinya bekerja sebagai guru sekolah rendah, kos kehidupan yang tinggi ketika ini membuatkan dia perlu berusaha lebih memandangkan tiga anak masing-masing berumur 15, 13 dan 11 tahun masih bersekolah.
"Pendapatan saya sebagai pesawah sememangnya tidak cukup. Cukup pun sekadar ala kadar, bergantung kepada keadaan keperluan setiap bulan. Adakala pendapatan cukup-cukup makan je.
"Sebab itu, saya mengambil upah buat apa sahaja kerja yang mendatangkan hasil halal seperti memandu lori untuk tambah pendapatan," katanya yang tinggal di Kampung Sama Gagah, Permatang Pauh.
Ujar Halmi, belanja bulanan yang paling tinggi ialah kos barangan harian terutama barang basah selain keperluan sekolah anak juga semakin meningkat.
Mengulas lanjut mengenai perbandingan kos sara hidup antara bandar dan luar bandar, beliau mengakui bahawa kehidupan di luar bandar masih lebih terkawal dari segi perbelanjaan, namun ia tidak bermakna segalanya murah.
“Memang kos di bandar jauh lebih tinggi, tetapi itu tidak bermaksud kos luar bandar rendah. Cuma di sini kita masih boleh memilih keperluan asas mengikut kemampuan kerana ada banyak pilihan.
“Saya sangat setuju jika gaji luar bandar sama dengan di bandar. Ini bukan sahaja membantu rakyat tetapi turut merancakkan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
