Pulau Pinang sedia main peranan jayakan Tahun Melawat Malaysia 2026

Bukit Bendera catat 426,308 penumpang bagi suku pertama 2025, sekali gus tersenarai sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menyerlah di Pulau Pinang. Gambar kecil: Hon Wai
Bukit Bendera catat 426,308 penumpang bagi suku pertama 2025, sekali gus tersenarai sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menyerlah di Pulau Pinang. Gambar kecil: Hon Wai
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang sedang berusaha dalam memperkukuhkan segala aspek pelancongan bagi menyambut kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada penyelarasan menyeluruh melibatkan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, industri pelancongan dan masyarakat setempat.

"Pendekatan secara menyeluruh atau 'whole-of-government' dan 'whole-of-society' akan menjadi kunci utama dalam memastikan kejayaan kempen nasional itu yang bakal menjadi pemangkin pemulihan dan pertumbuhan sektor pelancongan pasca pandemik.

“Kami di Pulau Pinang menyambut baik kempen ini dan menyokong penuh pelaksanaannya. Kami percaya pendekatan yang menyeluruh daripada semua pihak akan memastikan VMY2026 menjadi detik kebangkitan pelancongan negara, khususnya Pulau Pinang,” katanya di sini pada Selasa.

Tambah beliau, prestasi beberapa destinasi pelancongan utama di negeri ini menunjukkan trend pemulihan yang kukuh dan meyakinkan.

"Antara yang menyerlah ialah Bukit Bendera - catat 426,308 penumpang bagi suku pertama 2025, melebihi rekod pra-pandemik pada 2019 sebanyak 1.3 peratus.

"Sepanjang minggu Hari Raya Aidilfitri lalu, seramai 44,146 pengunjung menaiki kereta kabel Bukit Bendera, meningkat 3.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu," ujarnya.

Hon Wai menambah, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) turut mencatat pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai lapangan terbang kedua tersibuk di negara ini bagi tahun 2024, selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Setakat Februari tahun ini, sebanyak 320 penerbangan antarabangsa direkodkan setiap minggu, mengatasi paras pra-pandemik sebanyak 284 penerbangan.

Artikel Berkaitan:

“Kekerapan penerbangan yang semakin meningkat ini jelas membuktikan keyakinan syarikat penerbangan global terhadap Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang utama,” katanya.

Jelas beliau lagi, Pulau Pinang mencatatkan peningkatan ketara dalam sektor penginapan dengan ketibaan 8.24 juta tetamu hotel pada tahun 2024.

"Jumlah itu meningkat 13.3 peratus berbanding tahun sebelumnya. Sebanyak 2,200 bilik hotel baharu ditambah antara suku pertama 2024 hingga suku pertama 2025.

"Antara tarikan baharu yang diperkenalkan termasuk Gurney Bay, Escape Theme Park, taman bioluminescent pertama di dunia, Entopia by Night dan Galeri Sejarah Pulau Pinang.

"Selain itu, beberapa projek pelancongan utama sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan seperti Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah, dan Muzium Negeri," katanya.

Mengulas mengenai cabaran sedia ada, Hon Wai berkata, kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap isu penyelenggaraan, kebersihan dan akses kemudahan di lokasi pelancongan, selain menggalakkan digitalisasi melalui aplikasi pelancongan pelbagai bahasa dan kaedah pembayaran tanpa tunai.

“Dalam keghairahan kita menarik lebih ramai pelawat, kelestarian tetap menjadi keutamaan. Kita mesti pastikan alam sekitar dan warisan budaya kita terpelihara untuk generasi akan datang.

"Semua pihak perlu berganding bahu bagi menjayakan kempen VM2026 yang akan dilancarkan secara rasmi di peringkat kebangsaan. Pelaburan dalam projek-projek infrastruktur seperti sistem LRT, naik taraf lapangan terbang dan laluan pesisir pantai akan memberi impak besar dalam jangka panjang," katanya.

Tambah beliau, Pulau Pinang bersedia memainkan peranan penting sebagai penyumbang utama kepada kejayaan VM2026. Dengan sokongan semua pihak, kita mampu mengangkat semula nama Malaysia di pentas pelancongan dunia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!