Pekerja di bandar mahu kerajaan beri insentif tambahan

Golongan pekerja berpendapatan rendah dan sederhana di kawasan bandar meminta kerajaan memberikan insentif tertentu bagi memperbaiki kualiti hidup yang terjejas. Gambar hiasan (Gambar kecil: Nurul Atikah, Muhammad Haziq)
Golongan pekerja berpendapatan rendah dan sederhana di kawasan bandar meminta kerajaan memberikan insentif tertentu bagi memperbaiki kualiti hidup yang terjejas. Gambar hiasan (Gambar kecil: Nurul Atikah, Muhammad Haziq)
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan pekerja berpendapatan rendah dan sederhana di kawasan bandar meminta kerajaan memberikan insentif tertentu bagi memperbaiki kualiti hidup yang terjejas kerana melakukan beberapa kerja tambahan akibat kos sara hidup tinggi.

Jurutera reka bentuk, Muhamad Nasharuddin Muhamammad, 29, berkata, dia terpaksa melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan meskipun perlu mengorbankan masa bersama isteri dan anak.

Muhamad Nasharuddin (kiri) bersama isteri dan anaknya.
Muhamad Nasharuddin (kiri) bersama isteri dan anaknya.

Menurutnya, kerja di bandar tidak menjamin sumber kewangan yang kukuh dan stabil apatah lagi dengan peningkatan harga barang menjadikan hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Kalau ikut keperluan asas, gaji yang diterima bolehlah cukup makan untuk sebulan. Cuma apabila musim perayaan atau sambutan hari tertentu memang perlu menyimpan awal.

“Kadang terpaksa buat dua kerja, agak mencabar juga sebagai ketua keluarga kerana apabila terlebih bekerja, masa dengan insan tersayang pun makin kurang,” katanya kepada Sinar Ahad.

Kerani kewangan, Nurul Atikah Kamal, 28, turut mengakui sedang mempertimbangkan untuk mencari satu lagi kerja sambilan pada waktu malam.

Ketika ini, dia bekerja sepenuh masa dari Isnin hingga Jumaat dan melakukan kerja sampingan sebagai penjual minyak wangi pada hujung minggu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, gaji yang diterima masih tidak seiring dengan kos sara hidup, lebih-lebih lagi dia perlu menyara keluarga dan membantu adiknya yang masih menuntut di universiti.

“Walaupun kerajaan menaikkan gaji minimum tetapi harga barang sekarang makin mahal, contohnya kalau beli barang dapur sekali bayar mesti anggaran akan habis RM100 lebih.

“Kalau perlu berbelanja lebih sedikit, saya perlu menyimpan tiga atau empat bulan sebelum barulah boleh membeli,” ujarnya yang tinggal di Selangor.

Menurut pembantu tadbir, Ahmad Supian Napiah, 50, pendapatannya masih belum mencukupi untuk menampung keluarga yang terdiri daripada empat tanggungan termasuk dua anak masih bersekolah.

“Seorang sudah masuk institusi pengajian tinggi (IPT) dan seorang lagi Tingkatan Empat. Memang memerlukan duit yang banyak untuk menampung perbelanjaan pendidikan mereka.

“Sebab itulah, saya boleh katakan gaji hanya cukup-cukup makan sebab tolak bayar segala utiliti, jumlah yang ada perlu bertahan hingga hujung bulan.

“Hendak menyimpan pun kadang ada, kadang tiada. Kalau ada lebih, bolehlah simpan sikit-sikit,” jelasnya.

Bagi jurujual, Muhammad Haziq Mohd Zaidi, 26, dasar gaji minimum secara langsung meningkatkan pendapatan bulanan dan membantu merancang kewangan lebih baik.

“Gaji asas saya kira-kira RM500 dan kini sekitar RM2,700 sebulan,” katanya yang bekerja di syarikat pembekalan peralatan perubatan di Johor Bahru.

Namun begitu, Haziq berpendapat bahawa dasar gaji minimum perlu disemak setiap dua hingga tiga tahun bagi menyesuaikan dengan kadar inflasi dan kenaikan kos sara hidup.

“Hidup di Johor Bahru bukanlah murah. Harga makanan dan barangan runcit di sini jauh lebih tinggi,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!