Gaji di kampung pun tak cukup

SHAH ALAM - Biarpun tinggal di luar bandar, kos sara hidup tetap menjadi cabaran utama buat golongan muda yang berpendapatan rendah dan sederhana apabila perlu melakukan lebih dari satu sumber pendapatan.
Pesawah, Halmi Desa, 42, terpaksa melakukan beberapa kerja tambahan bagi memenuhi keperluan asas keluarga.
Halmi berkata, walaupun isterinya bekerja sebagai guru sekolah rendah, kos kehidupan yang tinggi ketika ini membuatkan dia perlu berusaha lebih memandangkan tiga anak masing-masing berumur 15, 13 dan 11 tahun masih bersekolah.
“Pendapatan saya sebagai pesawah sememangnya tidak cukup. Cukup pun sekadar ala kadar, bergantung kepada keadaan keperluan setiap bulan. Adakala pendapatan cukup-cukup makan sahaja.
“Sebab itu, saya mengambil upah buat apa sahaja kerja yang mendatangkan hasil halal seperti memandu lori untuk tambah pendapatan,” katanya yang tinggal di Kampung Sama Gagah, Permatang Pauh di Pulau Pinang.
Ujar Halmi, belanja bulanan yang paling tinggi ialah kos barangan harian terutama barang basah selain keperluan sekolah anak juga semakin meningkat.
Di Pahang, pembantu kantin, Rosnita Yahaya, 39, berkata, pendapatan isi rumah mencecah RM2,000 sebulan masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian sekeluarga di luar bandar dalam keadaan kos sara hidup yang kian menghimpit pada ketika ini.

Dia yang menetap di Bukit Kuantan berkata, situasi itu memaksanya melakukan pelbagai kerja sampingan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
“Gaji kerja kantin memang tidak cukup, jadi bila habis waktu sekolah, saya ambil upah penghantaran makanan.
“Dapatlah RM15 sehari untuk perkhidmatan penghantaran. Kalau hujung minggu, saya ambil tempahan sambal, masak patin tempoyak, boleh raih RM70 pun dah cukup untuk belanja anak sekolah,” ujarnya.
Ibu kepada dua anak itu memberitahu, suaminya, Roslan Othman, 45, pula bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.
Rosnita berkata, perbelanjaan bulanan tertinggi ialah bil air yang mencecah RM90 sebulan, manakala bil utiliti lain masih terkawal namun kos barangan dapur semakin meningkat berbanding sebelum ini.
“Dulu RM300 cukup untuk beli barang dapur sebulan, sekarang RM400 lebih pun belum tentu cukup, kadang- kadang hujung bulan terpaksa cari duit lain untuk tampung.
“Itu belum masuk belanja sekolah anak-anak, minyak motosikal, kereta dan kos ulang alik hospital untuk rawatan anak di hospital pada setiap bulan,” katanya.
Katanya, walaupun tinggal di kawasan luar bandar, harga barangan keperluan tidak jauh berbeza dengan bandar.
“Sebab itu saya rasa pekerja luar bandar juga perlu terima gaji setaraf dengan pekerja di bandar.
“Harga barang sama, tapi gaji berbeza. Hidup makin susah sekarang,” ujarnya.
Di Terengganu, pemandu traktor, Mohd Zaki Sulong, 51, mengakui gaji bersih sekitar RM2,000 hingga RM2,200 sebulan tidak mencukupi apabila sebahagian besar pendapatannya digunakan untuk membeli barangan dapur dan makanan harian.
“Sekarang ini barang makan makin mahal, bila dapat gaji terus habis beli barang dapur. Biasanya sekali beli barang kering habis dalam RM600 ke RM700, tapi kadang-kadang lebih sampai RM800 pun ada.
“Barang basah pula macam ikan, ayam, sayur, dua hingga tiga hari sekali beli, sekali beli paling kurang RM60 ke RM70, kalau lauk mahal sikit boleh cecah lebih RM100.
“Belanja keseluruhan untuk makan sahaja sekarang boleh mencecah RM1,800 hingga RM2,000 sebulan. Itu bagi saya yang tinggal di luar bandar, yang hari-hari makan di rumah,” katanya yang bekerja di Felcra Bukit Kapah.
Tambah Mohd Zaki, isterinya, Nor Azlina Mohd Amin, 47, seorang suri rumah maka dia terpaksa mencari kerja sambilan seperti membersih kebun, menebang pokok atau mengutip kelapa.
Di Negeri Sembilan, meskipun melakukan dua pekerjaan untuk menyara empat orang anak namun perbelanjaan bulanan masih tidak mencukupi sehingga terpaksa meminjam daripada rakan-rakan sementara menunggu gaji.
Situasi itu dihadapi Suhardi Abd Hamid, 40, yang bekerja di pasar menjual ayam pada pagi manakala sebelah malam menjual burger bagi menambah pendapatan sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan.
Suhardi yang tinggal di Senawang berkata, sebelum ini dia berniaga baju bundle namun terjejas teruk dan akhirnya ditutup akibat pandemik Covid-19.
“Pagi kerja di pasar ayam, petang saya jadi penghantar makanan, pernah juga kerja kedai makan, kemudian dalam setahun ini bekerja sampingan menjual burger pula.
“Kalau tanya rakan-rakan pun, kebanyakan memang tak ada simpanan sebab kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang, pendapatan hanya sekadar cukup makan.
“Dengan duit ada kena bijak urus perbelanjaan, kadang kala terpaksa tangguh bayar bil air, elektrik, ada masa juga terpaksa meminjam duit kawan-kawan. Untuk hidup selesa, saya perlukan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan,” katanya yang berasal dari Selama, Perak.
Di Kelantan, promoter jualan, Firdaus Hamzah, 24, berkata, pendapatan sebanyak RM1,700 sebulan belum cukup selesa untuk mereka yang tinggal di sini walaupun negeri ini dilabel sebagai negeri kos sara hidup rendah di Malaysia.

Menurutnya, dia masih perlu melakukan kerja sampingan serta lebih masa untuk mendapatkan duit lebih.
“Orang kata duduk di Kelantan semua murah, itu dulu. Sekarang sama sahaja dengan negeri lain.
“Perbelanjaan bulanan saya dan isteri paling banyak digunakan untuk makanan, di mana kami belanjakan RM50 sehari.
“Jika hujung bulan kami bawa bekal nasi, serta air manis yang dikacau dari rumah manakala lauk dibeli di kedai,” kata bapa kepada seorang anak yang berusia dua bulan.
Menurut Firdaus, pada hari Jumaat dia sanggup korbankan waktu cuti untuk mengambil upah memasang serta mengemas khemah di pasar minggu Wakaf Bharu dengan kadar upah RM50.
Di Kedah, penjawat awam, Faizah Mustafa, 37, berkata, biarpun dia dan suami bekerja sebagai penjawat awam namun pendapatan mereka masih tidak mencukupi bagi menampung keperluan keluarga.
Ibu kepada lima anak berusia tiga hingga 14 tahun itu berkata, perbelanjaan di luar bandar adalah sama seperti di bandar kerana masing-masing memerlukan komitmen yang tinggi setiap bulan.
“Saya dan suami bekerja, kalau ikutkan bayaran pengasuh, ansuran rumah dan kereta sahaja dah hampir RM3,000. Itu tak masuk lagi yuran pengangkutan anak ke sekolah, tuisyen, mengaji, susu, lampin pakai buang.
“Pendapatan yang ada tidak mencukupi, terpaksa berniaga pakaian secara kecil-kecilan bagi menampung keperluan, seminggu sekali pada hari cuti.
“Kalau fikirkan memang letih kerana hari cuti untuk berehat tetapi apabila memikirkan keperluan anak-anak, nak bawa mereka jalan-jalan, kena cari duit sampingan dan sedikit sebanyak bantu suami,” katanya yang tinggal di Pendang.
Di Selangor, pekerja pembersihan, Azmi Saat, 58, berkata, demi mahu meluangkan masa bersama keluarga, dia sanggup meninggalkan kerjaya bergaji lumayan dan beralih kepada pekerjaan berpendapatan rendah.
“Dulu semasa bujang saya kerja di Pekan, Pahang sebagai pemasang aksesori kenderaan dengan gaji boleh cecah RM5,000 sebulan.
“Tapi empat tahun selepas mendirikan rumah tangga, saya ambil keputusan kembali ke kampung halaman kerana faktor usia dan keinginan bersama keluarga walaupun kini hanya bergaji RM2,000 sebulan,” katanya yang bekerja di Sekinchan.
Bapa kepada lima orang anak berusia antara 14 hingga 24 tahun itu mengakui pendidikan antara cabaran kos hidup tinggi kerana semua anak masih bersekolah dan ada di universiti.
Di Sabah, penyelaras operasi di sebuah syarikat pelancongan di Kundasang, Julie Aley, 35, berkata, gaji minimum RM1,700 hanya mencukupi untuk individu bujang yang tidak mempunyai komitmen.
“Jika anda mempunyai komitmen selain diri sendiri, sudah tentu jumlah ini tidak mencukupi dan tidak membawa sebarang perbezaan,” kongsinya.
Dia berpendapat, gaji minimum sebanyak RM2,000 adalah lebih munasabah, memandangkan harga barangan dan perkhidmatan yang terus meningkat.
Julie turut menggesa kerajaan untuk meneliti dengan serius harga barang keperluan harian kerana tiada guna menaikkan gaji minimum jika harga barang asas juga naik berganda.
Di Sarawak, Benya Lanting, 23, yang bekerja sebagai penolong penyelia dapur di Sibu percaya gaji minimum yang lebih realistik adalah sekitar RM2,000 hingga RM2,500 bergantung kepada lokasi.
“Gaji minimum baharu ini memang memberi sedikit kelegaan kepada saya, terutamanya dalam membantu menampung kos keperluan asas seperti makanan, sewa rumah dan utiliti.
“Tetapi bagi saya, ia masih belum mencukupi kerana kos sara hidup semakin meningkat. Sebagai contoh, sewa rumah dan perbelanjaan harian,” katanya.
Di Johor, keputusan untuk terus tinggal di luar bandar sejak 10 tahun lalu diakui lebih selesa berbanding di bandar apabila kos sara hidup lebih rendah.
Pekerja kantin, Nurul Shafikah Mohd Hatar, 29, yang menetap di Estet Pasir Panjang berkata, kehidupan di kediaman kini cukup selesa dengan kemudahan asas yang lengkap.
Menurutnya, walaupun menikmati kehidupan lebih murah di kawasan ladang, dia tetap memerlukan pendapatan tambahan memandangkan mempunyai dua anak berusia lapan dan lima tahun yang sedang bersekolah.
“Saya suka berniaga. Dulu saya jual kuih dan makanan di depan rumah. Nasi lemak RM1 pun boleh dapat dalam RM40 sehari.
“Tapi, selepas mengalami masalah saraf tangan, saya terpaksa berhenti berniaga dan kini hanya bekerja di kantin sekolah agama dengan pendapatan sekitar RM30 sehari,” jelasnya.
Di Perak, Taufiq Ahmad, 23, yang bekerja kampung dan tinggal bersama keluarga di Bagan Datuk, berkata, pendapatan yang diperoleh masih mampu menampung keperluan asas diri dan keluarga seperti makanan, pakaian serta pengangkutan.
Menurut Taufiq, walaupun tinggal di kawasan luar bandar, dia berpendapat pekerja sepatutnya menerima gaji setaraf dengan mereka yang bekerja di bandar.
“Ini untuk pastikan keadilan kepada semua pekerja tanpa mengira lokasi. Kerja tetap kerja, penatnya tetap sama,” ujarnya yang masih bujang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
