Bencana berganda landa Israel


TEL AVIV - Israel berdepan kemusnahan besar apabila dua bencana besar berlaku serentak iaitu kejadian kebakaran hutan berskala luar biasa dan ribut pasir.
Kebakaran yang mula tercetus di perbukitan barat Baitulmaqdis pada Rabu lalu telah memusnahkan lebih 2,400 hektar kawasan termasuk kira-kira 1,200 hektar hutan dilindungi, sekali gus menjadikannya antara kejadian paling buruk dalam sejarah.

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu segera mengisytiharkan darurat dan menagih bantuan pihak luar.
Pesawat pemadam api dari beberapa negara lain telah dikerah ke Israel untuk membantu memadamkan kebakaran yang semakin merebak disebabkan cuaca panas dan angin kencang.

Kebakaran itu turut memaksa penutupan lebuh raya utama yang menghubungkan Tel Aviv dan Baitulmaqdis selain mengakibatkan gangguan kepada sistem pengangkutan, bekalan elektrik dan pemindahan ratusan penduduk.
Sekurang-kurangnya 23 orang termasuk beberapa kanak-kanak dilaporkan melecur dan mengalami sesak nafas akibat terdedah kepada asap tebal.

Setakat ini, pihak berkuasa telah menahan tiga individu yang disyaki melakukan pembakaran secara sengaja.
Siasatan awal pasukan bomba mendapati kebakaran itu bukanlah berpunca daripada perbuatan arson sebaliknya disebabkan kecuaian kumpulan pendaki yang melalui kawasan Mesilat Zion di mana api bermula.

Dalam masa sama, ribut pasir melanda sebahagian besar kawasan tengah dan selatan negara itu, menambah cabaran kepada pasukan penyelamat dan menjejaskan kualiti udara ke tahap membahayakan.
Langit berubah menjadi jingga dan kelabu pekat hingga menyebabkan jarak penglihatan menurun secara drastik manakala hospital tempatan turut melaporkan peningkatan mendadak kes berkaitan sesak nafas dan iritasi mata.

Ketua Pembangkang, Yair Lapid tampil mengecam kerajaan pimpinan Netanyahu yang didakwa gagal siap siaga walaupun telah dimaklumkan lebih awal oleh pakar bencana dan pihak bomba.
“Semasa kami memerintah, pelan lengkap termasuk pembelian helikopter pemadam api telah diluluskan. Tetapi, kesemuanya dibatalkan oleh kerajaan sekarang,” tegas Lapid.
Penganalisis berpendapatan bencana berganda itu jelas mempamerkan kelemahan pengurusan krisis di tengah-tengah krisis dalaman yang semakin meningkat di Tel Aviv.

Keadaan itu memberi tekanan lebih besar kepada kepimpinan Netanyahu yang berdepan kritikan pemimpin pembangkang selain rakyat yang kecewa dengan ketidakcekapan kerajaan.
“Kebakaran boleh dipadam, tetapi sikap sambil lewa pemerintah yang membiarkannya merebak adalah lebih berbahaya,” kata seorang pemerhati politik di Tel Aviv.

Pasukan penyelamat Israel mengambil masa kira-kira 30 jam untuk mengawal kebakaran sementara ribut pasir dijangka berlarutan beberapa hari lagi.

Negara itu kini berdepan cabaran besar untuk menangani situasi itu ketika kempen pengeboman terus diperhebatkan ke atas Gaza. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

