Kebakaran hutan Israel meletus semula, rakyat cemas

BAITULMAQDIS - Kebakaran hutan kembali marak di kawasan berhampiran Baitulmaqdis barat pada Jumaat, hanya beberapa jam selepas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran besar yang berlaku di tengah Israel, lapor Anadodu Ajansi (AA).
Menurut laporan harian Maariv, kebakaran baru dikesan di kawasan Latrun yang terletak antara Baitulmaqdis dan Tel Aviv, sehari selepas api berjaya dikawal pada Khamis.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Israel memaklumkan bahawa mereka telah menggunakan pesawat pemadam api dalam operasi memadamkan kebakaran terbaru dan kini mengesahkan situasi telah berada “di bawah kawalan penuh.”
Kebakaran besar sebelum ini di kawasan Bukit Baitulmaqdis telah memusnahkan kira-kira 4,942 ekar kawasan tanah hutan dan hanya dapat dikawal selepas operasi selama hampir 30 jam.

Media penyiaran awam Israel, KAN dan Channel 12 turut memetik kenyataan rasmi bahawa satu pasukan penyiasat khas telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kebakaran tersebut.
Namun begitu, dakwaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa kebakaran itu berpunca daripada perbuatan sabotaj, disanggah oleh Channel 12 yang menyatakan siasatan awal menunjukkan kebakaran besar tersebut dipercayai berpunca akibat kecuaian, bukan sabotaj.
Ratusan penduduk di beberapa bandar kecil telah diarahkan berpindah pada Rabu selepas api marak dengan cepat antara Baitulmaqdis dan Tel Aviv.
Beberapa jalan utama turut sesak apabila ramai pemandu terpaksa meninggalkan kenderaan dan melarikan diri dari kawasan terbakar.
Pihak berkuasa kini masih meneruskan siasatan bagi memastikan punca sebenar kebakaran yang berlaku di kawasan sama minggu lalu dalam skala yang lebih kecil. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
