Kerajaan Pulau Pinang tolak calon Amanah ganti Afif

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang tidak menerima cadangan daripada Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang agar kekosongan jawatan Exco Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani diisi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jawatan itu telah ditetapkan untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan perlu diisi oleh wakil rakyat daripada parti berkenaan.

Menurutnya, kenyataannya sebelum ini adalah jelas yang mana beliau meminta PKR menyediakan senarai nama dan bukannya daripada Amanah.

"Kenyataan saya sebelum ini jelas bahawa saya meminta agar pimpinan PKR menyerahkan senarai nama untuk diputuskan bagi mengisi kekosongan jawatan Exco yang ditinggalkan Dr Afif Bahardin daripada PKR.

"Saya mohon (senarai nama) daripada PKR bukan Amanah. Ia adalah status quo kerana jawatan itu adalah untuk PKR," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penutup Sambutan Hari Wanita Sedunia 2020 Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang di sini.

Semalam, Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Dr Roslan Ahmad mencadangkan Muhammad Faiz dilantik sebagai Exco negeri bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan ADUN Seberang Jaya.

Cadangan itu dibuat berdasarkan keyakinan parti itu terhadap kemampuan dan kebolehan Muhammad Faiz selain latar belakang profesional dan pengalamannya.

Ia akan memberikan satu kesan yang amat positif dalam membantu pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Kon Yeow dalam menjayakan Wawasan Penang 2030.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kon Yeow enggan mengulas berhubung kenyataan Afif dan pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang menyatakan peletakan jawatan tersebut adalah di atas nasihat beliau.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang butiran perbincangan kerana apa yang lebih penting adalah 'outcome' daripada perbincangan tersebut. Banyak perkara yang dibincangkan dan keputusannya adalah Afif telah meletak jawatan.

"Jadi kenyataan daripada mereka berdua mungkin menggambarkan serba sedikit tentang perbincangan tersebut," katanya.

Terdahulu, dalam kenyataan Afif dan Muhammad Bakhtiar menyatakan peletakan jawatan Exco Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani adalah di atas nasihat Kon Yeow.

Bagaimanapun sebelum itu, dalam sidang media berasingan, Kon Yeow menyatakan Afif meletak jawatan selepas bertemu beliau pagi semalam sebelum Mesyuarat Exco Kerajaan Pulau Pinang dijalankan.