Teknologi modular kurangkan kos, tingkat bilangan projek - Ahmad Maslan

PONTIAN - Kementerian Kerja Raya akan mula menggunakan teknologi pembinaan moden khususnya sistem ‘modular precast’ bagi mengurangkan kos pembangunan sekali gus memungkinkan lebih banyak projek dilaksanakan untuk manfaat rakyat.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ahmad Maslan berkata, langkah itu susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Kementerian Kerja Raya pada 20 Mac lalu.
"Susulan arahan tersebut, kementerian telah membentangkan kertas kerja melibatkan langkah pengurangan kos pembinaan.
"Ia termasuk penggunaan sistem modular precast, kaedah Building Information Modelling (BIM) dan sistem binaan berindustri (IBS)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jelajah Revolusi Pembinaan CR4.0 dan myDigital Kontraktor (MDK) di Benut di sini pada Sabtu.
Sistem 'modular precast' ialah kaedah konkrit pratuang inovatif dengan penghasilan panel struktur, tiang, rasuk dan panel lantai yang telah direka bentuk terlebih dahulu, sekali gus menjimatkan tempoh dan kos pembinaan.
Dalam pada itu, Ahmad memberikan contoh sebuah syarikat pembinaan dari China, Broad Technologies, yang terkenal dengan kepakaran membina bangunan bertingkat dalam masa singkat.
"Syarikat tersebut mencipta rekod apabila berjaya menyiapkan bangunan 10 tingkat dalam hanya 28 jam serta bangunan 57 tingkat dalam masa 19 hari di China menggunakan sistem pembinaan modular dan precast prefix yang efisien.
"Penggunaan teknologi modular seperti ini bukan sahaja mempercepatkan tempoh pembinaan, malah mampu mengurangkan kos secara signifikan terutama dalam projek mega namun kualiti tetap dijaga," katanya.
Mengulas mengenai Program myDigital Kontraktor, ujar beliau, seramai 130,000 kontraktor berdaftar CIDB disasarkan untuk beralih kepada kaedah kerja yang lebih efisien melalui pendigitalan.
"Melalui platform ini, pelbagai urusan seperti e-tender, e-perolehan, e-profil syarikat dan e-invois boleh dijalankan secara atas talian, sekali gus menggantikan proses manual yang memakan masa dan kurang efisien.
"Hasilnya, operasi projek dapat dipercepatkan, produktiviti meningkat dan tadbir urus menjadi lebih telus. Sehingga kini, dimaklumkan lebih 6,407 kontraktor telah mendaftar dalam program ini dan aktif menggunakan fungsi-fungsi digital yang disediakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

