Barang kemas RM300,000 lesap, rumah dipecah masuk ketika keluar mengaji

Salah sebuah bilik di rumah mangsa yang berselerak akibat diselongkar pencuri.
Salah sebuah bilik di rumah mangsa yang berselerak akibat diselongkar pencuri.
A
A
A

BACHOK - Barang kemas lama dan padu bernilai lebih RM300,000 milik seorang warga emas lesap selepas rumahnya dipecah masuk di Kampung Pengkalan Kasim, Beris Kubor Besar, di sini pada Selasa.

Mangsa, Mek Som@Nisah Omar, 77, hanya menyedari kejadian itu pada jam pada jam 12.30 tengah hari ketika pulang dari mengaji al-Quran di Masjid Pengkalan Chengal yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

“Saya tengok bahagian luar rumah macam biasa, tapi bila masuk dalam rumah, semua berselerak. Baru saya sedar rumah kena pecah masuk dan barangan kemas yang sudah lama tersimpan juga hilang.

“Barang kemas yang tersimpan elok dan tersorok termasuk gelang, rantai dan cincin ini habis diselongkar serta diambil. Saya dah bahagikan kepada anak-anak semasa Aidilfitri tetapi mereka minta saya simpankan dulu,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, ketika keluar dari rumah pada jam 9 pagi rumahnya dalam keadaan berkunci dan tidak menemui sebarang kesan umpil pada pintu mahupun pagar.

Kata Mek Som, kawasan belakang rumahnya terdapat sebuah rumah kosong dan kawasan berpaya.

Memikirkan balik soal keselamatan dirinya, warga emas itu bagaimanapun bersyukur kerana tidak berada di rumah semasa kejadian.

“Nak buat macam mana kalau dah tak ada rezeki. Asalkan nyawa selamat.

“Lebih takut kalau pencuri masuk waktu malam masa saya ada di rumah,” katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!