Langkah saman pemula percepat tuntutan hak Sabah - Ewon

KOTA KINABALU - Tindakan undang-undang melalui saman pemula (Originating Summons atau OS) yang difailkan oleh Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah terhadap Kerajaan Persekutuan sebelum ini telah menjadi pemangkin kepada beberapa keputusan penting berkaitan tuntutan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, meskipun tindakan OS itu ditarik balik pada September 2023, pelbagai keputusan penting telah berjaya dipercepatkan oleh kerajaan Persekutuan hasil tekanan dan usaha yang dilakukan.
"Saya dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Presiden Kehormat UPKO) merupakan antara plaintif dalam kalangan wakil rakyat PH Sabah yang telah mengambil tindakan perundangan OS terhadap kerajaan Persekutuan, susulan warta pemberian khas yang dikeluarkan pada April 2022 dan menarik balik OS ini pada September 2023 dengan kebenaran mahkamah untuk difailkan semula.
"Saya ingin katakan kepada ahli-ahli parti dan rakyat Sabah bahawa kerana OS yang dimulakan oleh UPKO dan PH Sabah itulah keputusan-keputusan penting dapat dipercepatkan.
"Antaranya pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan peningkatan pemberian khas sebagai penyelesaian interim yang kini berjumlah RM600 juta pada tahun ini," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-31 UPKO di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini malam Jumaat.
Ewon menegaskan bahawa UPKO dan PH Sabah telah memainkan peranan penting dalam pencapaian tersebut, yang disifatkan sebagai jauh lebih baik berbanding sebelum tindakan itu diambil.
"Malah, sembilan daripada 13 perkara berkaitan tuntutan MA63 yang telah selesai sepenuhnya berlaku semasa Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di mana Presiden UPKO sekarang berada dalam Kabinet beliau.
"Ahli-ahli UPKO, berbanggalah dengan perkara ini kerana kita telah menjadi sebahagian daripada usaha menyelesaikan tuntutan-tuntutan yang sekian lama gagal diselesaikan selama bertahun-tahun sebelum ini," katanya.
Mengulas lanjut, meskipun terdapat pihak yang memperlekehkan keputusan UPKO dan PH Sabah itu, beliau sendiri telah mengisytiharkan tindakan perundangan OS berkenaan dalam mesyuarat pertama Kabinet Persekutuan.
"Saya meminta supaya perkara yang berkaitan dengan OS dibincangkan dan ditangani. Kesemua plaintif juga telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.
"Sepanjang tempoh sehingga September 2023 tersebut, beberapa perkara yang berkaitan dengan OS tersebut telah ditangani dan diputuskan oleh kerajaan," jelasnya.
Sehubungan itu, Ewon menegaskan bahawa UPKO akan terus memainkan peranan aktif secara strategik dalam usaha menyelesaikan baki tuntutan yang masih belum dipenuhi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
