‘Macam mimpi lihat Kaabah depan mata’ – Petugas media TH kongsi momen berharga

MAKKAH – Rata-rata petugas media Lembaga Tabung Haji (TH) yang dipilih bagi membuat liputan musim haji 1446H/2025M mengakui masih sukar mempercayai bahawa mereka diberi peluang menggalas amanah besar berkenaan sambil menunaikan Rukun Islam kelima di Tanah Suci.
Muhammad Rastwin Stia, 39, berkata, peluang diterima dianggap sebagai hadiah terindah sejak beliau memeluk Islam 15 tahun lalu.
“Peluang keemasan itu hadir tanpa diduga. Macam mimpi... itulah yang saya rasa bila pertama kali menatap Kaabah depan mata,” katanya.
Wartawan berasal dari Labuan, Sabah itu berkata, kebiasaannya hanya melihat orang lain tunaikan umrah dan haji.
“Tak sangka saya sendiri dijemput ke sini (Tanah Suci). Momen depan Kaabah terlalu indah dan menakjubkan, sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya ketika ditemui selepas kumpulan petugas media TH menyempurnakan ibadah umrah sebaik menjejaki kaki ke Tanah Suci Makkah.

Tambahnya, meskipun berdepan cabaran mengimbangi antara tugas sebagai wartawan dan tuntutan ibadah, ia terasa ringan apabila berserah sepenuhnya kepada ALLAH SWT.
“Saya bersyukur sebab jadual yang disusun TH sangat membantu. Memang ada terfikir macam mana nak bahagikan masa, tapi bila dah sampai sini, semuanya dipermudahkan,” ujarnya.
Bagi Eksekutif Editor, Zaiful Ariffin, 51, peluang bertugas di Tanah Suci merupakan sesuatu yang tidak dijangka tetapi sudah lama diimpikan.
“Dulu saya pernah ditawarkan bertugas di Tanah Suci, tapi masa itu belum bersedia. Kali ini bila diberi peluang, saya terus terima,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman menyentuh hati ketika berpeluang ke Raudah dan Makam Rasulullah.
“Saya menangis tanpa sedar... rasa terlalu dekat dengan Rasulullah SAW. Bila tiba masa nak tinggalkan Madinah, hati saya jadi terlalu berat,” katanya.
Sementara itu, wartawan, Sitti Khadizah Faisal, 32, yang merupakan petugas media paling muda berkata, tidak dapat menahan sebak apabila diberi peluang menunaikan haji sambil menjalankan tanggungjawab sebagai penyebar berita.
“ALLAH makbulkan doa saya selama ini. Saya selalu mohon supaya pekerjaan saya sebagai wartawan dapat beri manfaat kepada ummah. Mungkin ini jawapan kepada doa-doa itu,” katanya.
Sitii Khadizah berkata, beliau turut bersyukur kerana sentiasa dilayan baik oleh rakan-rakan media yang lain sepanjang berada di Tanah Suci.
“Saya harap ALLAH kurniakan kesabaran yang tinggi ketika bertugas dan beribadah. Saya doakan semua rakan setugas dapat kekalkan emosi, semangat dan fokus untuk tunaikan amanah ini sebaik mungkin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

