Kosovo zahirkan penghargaan atas sokongan berterusan Malaysia

PUTRAJAYA - Kosovo bersedia memperkukuh hubungan diplomatik, ekonomi dan keselamatan dengan Malaysia menerusi pembukaan kedutaannya di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu yang sedang dalam lawatan rasmi empat hari ke Malaysia bermula Khamis, mengumumkan pembukaan kedutaan itu semasa sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, selepas mengadakan perbincangan peringkat tinggi.
"Ia menandakan bab baharu dalam hubungan dua hala yang dibina atas asas saling percaya, solidariti dan nilai bersama," katanya, sementara Anwar menyambut baik penubuhan kedutaan itu dan menyifatkannya sebagai satu pencapaian penting yang akan merancakkan lagi kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan, kebudayaan dan pelancongan.
Menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan Malaysia, Osmani berkata, hubungan kedua-dua negara bukan sahaja terbina melalui saluran diplomatik, tetapi juga atas nilai perpaduan, maruah dan kepelbagaian yang dikongsi bersama.
Mengukuhkan lagi keakraban dua hala, beliau menyifatkan Malaysia sebagai "lebih daripada sekadar rakan kepada Kosovo", sebaliknya "rakan kongsi dalam usaha bersama ke arah keamanan, kemakmuran dan kemajuan”.
Beliau turut mengenang sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia ketika Kosovo melalui detik paling sukar pada 1999, serta pengiktirafan awal terhadap kemerdekaan Kosovo pada 2008, yang disifatkannya sebagai tindakan yang membawa harapan dan keyakinan terhadap masa depan negaranya.
"Rakyat Kosovo tidak akan melupakan bahawa anda bersama kami pada waktu paling getir dalam sejarah kami... dan atas itu, penghargaan kami tidak akan pernah luntur,” katanya.
Menurut Osmani, kedua-dua pemimpin meneroka pendekatan baharu bagi memperkukuh hubungan dua hala, termasuk mempertingkat hubungan diplomatik, memperluas kerjasama ekonomi serta meningkatkan penglibatan dalam pelbagai sektor seperti pertanian, tenaga, teknologi dan industri halal.
Beliau turut menghargai keputusan Malaysia untuk memansuhkan keperluan visa bagi warga Kosovo, yang disifatkannya sebagai tanda kepercayaan dan persahabatan yang akan mengeratkan lagi hubungan antara rakyat.
Dalam bidang pendidikan dan pertukaran budaya, beliau mengulangi komitmen kedua-dua negara untuk memperdalam kerjasama antara universiti, menggalakkan pertukaran pelajar dan memperkukuh dialog budaya, sambil memaklumkan ramai pelajar Kosovo kini melanjutkan pelajaran di Malaysia.
Bagi aspek keselamatan, Osmani menyatakan kesediaan Kosovo untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang seperti keselamatan siber, memerangi keganasan dan respons terhadap bencana, sambil menegaskan kepentingan usaha bersama untuk melindungi kepentingan kedua-dua negara.
Beliau turut berterima kasih kepada Malaysia atas sokongan berterusan terhadap aspirasi Kosovo untuk menyertai pertubuhan antarabangsa, termasuk kesediaan untuk bekerjasama dengan platform serantau seperti ASEAN.
Sebagai mengiktiraf sumbangan Malaysia terhadap usaha pembinaan negara Kosovo dan komitmen Perdana Menteri Anwar dalam mengukuhkan hubungan dua hala, Osmani menyampaikan Anugerah Kemerdekaan, iaitu anugerah kebangsaan tertinggi Kosovo, kepada Anwar.
Malaysia merupakan antara negara terawal di Asia yang secara rasmi mengiktiraf kemerdekaan Kosovo pada 30 Oktober 2008 dan terus menyokong usaha pembinaan negara itu di peringkat antarabangsa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
