15 minit bertarung, kaki pancing tewaskan tapah 40kg

JERANTUT – Seorang kaki pancing tidak menyangka tajur yang dipasangnya di Sungai Pahang berhampiran Jambatan Jerantut Feri di sini membuahkan hasil luar biasa apabila berjaya menaikkan seekor ikan tapah seberat 40 kilogram (kg) baru-baru ini.
Ikan tersebut yang nama saintifiknya Wallago attu lazimnya mendiami sungai dan tasik besar yang berlumpur serta beraliran perlahan.
Afandi Zainuddin, 46, berkata, dia menggunakan umpan ikan keli hidup ketika memasang tajur pada waktu petang dan kembali memeriksanya pada keesokan pagi sebelum dikejutkan dengan hasil tangkapan yang luar biasa itu.
“Saya memang selalu memasang tajur di kawasan ini kerana sungai ini terkenal dengan ikan bersaiz besar seperti patin buah, baung dan kali ini tapah pula yang mengena.
“Ketika mula menarik tali tajur, saya rasa lain macam. Bila nampak kelibat ikan timbul di permukaan air, saya terus berdebar sebab saiznya luar biasa. Hampir 15 minit juga nak tarik naik ke darat,” katanya kepada Sinar Harian.
Ujarnya, ikan tapah yang berjaya ditangkap itu dianggarkan sepanjang lebih satu meter.
Tambah Afandi, hasil tangkapan itu bukan sahaja rezeki lumayan tetapi juga pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang bergelar kaki pancing sejak zaman remaja.
“Kalau ikutkan, tahun lepas pun pernah dapat tapah 38kg, tapi kali ini lebih berat sampai 40kg,” jelasnya yang juga seorang operator kilang tayar.
Menurutnya, berdasarkan harga pasaran semasa, ikan tapah boleh dijual antara RM70 hingga RM80 sekilogram.
Katanya, sebahagian ikan itu telah dijual manakala selebihnya dinikmati bersama keluarga dalam hidangan gulai tempoyak dan gulai asam rong yang cukup terkenal di Jerantut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

