Bagan Lalang berpotensi jadi destinasi pilihan kaki pancing

SEPANG - Pantai Bagan Lalang berpotensi besar menjadi destinasi pelancongan berasaskan aktiviti memancing susulan kejayaan penganjuran pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour@Bagan Lalang di sini pada Ahad.
Pertandingan anjuran Wakjali Event Management itu dianjurkan dengan kerjasama Ahli Majlis MPP Zon Sepang Putra dan disertai lebih 600 peserta dari seluruh negara.
Adun Sungai Pelek, Lwi Kian Keong berkata, selain pantai yang panjang dengan pelbagai spesies ikan, Bagan Lalang juga mempunyai kemudahan lengkap untuk pelancong.
“Banyak hotel di sini dan gerai makanan juga banyak, termasuk medan ikan bakar dengan pelbagai spesies ikan bergred tinggi.

“Hari ini (Ahad) kita menyaksikan lebih 600 peserta dari seluruh negara datang ke sini bagi menyertai acara ini. Ini memberikan limpahan pendapatan kepada peniaga di pantai ini.
“Saya sangat menyokong aktiviti seperti ini diadakan pada masa akan datang,’’ katanya ketika merasmikan penutup Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour@Bagan Lalang di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ahli Majlis MPP Zon Sepang Putra, A Vijayarani; Pengasas Wakjali Event, Md Zali Kasran dan Pengerusi MPKK Bagan Lalang, Samsul Idham Mustafa Kamal.
Pertandingan itu menyaksikan Suria Mat Sahar, 53, dari Kuala Selangor muncul juara apabila menaikkan ikan belukang seberat 1.055 kilogram (kg), sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.
Tempat kedua disandang oleh Ardy Marnito, 29, dari Tanjung Sepat yang menaikkan ikan semilang 0.815kg, manakala Mohd Khairul Said, 37, dari Muar, Johor yang menaikkan ikan semilang 0.52kg mendapat tempat ketiga.
Ardy membawa pulang wang tunai RM4,000 manakala Mohd Khairul berpuas hati dengan RM2,000.
Kian Keong yang juga anak jati Sungai Pelek, berkata selain boleh memancing di pantai, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti itu di laut dalam menggunakan bot yang banyak di situ, khususnya di Sungai Sepang Besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!