Tok Mat, Hishammuddin layak jadi TPM

Mohamad Hasan (kiri) Hishammuddin Tun Hussein
Mohamad Hasan (kiri) Hishammuddin Tun Hussein
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein antara nama yang boleh dipertimbangkan sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) di dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Nordin Kardi berkata, dua nama itu banyak disebut untuk memegang jawatan tersebut namun kemungkinan salah seorang akan terpilih atau terdapat nama lain muncul.

Menurutnya, kedua-kedua pemimpin itu mempunyai kelebihan tersendiri dan berpotensi menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang.

"Nama pertama ialah Datuk Seri Hishammuddin. Jika Datuk Seri Hishammuddin jadi TPM, saya cadangkan supaya beliau juga diberi Kementerian Luar Negeri. Jika Perdana Menteri nak groom beliau menjadi Perdana Menteri berkesan kemudiannya, Kementerian Luar Negeri adalah tempat beliau membina jaringan antarabangsa bagi menghadapi cabaran dunia masa depan.

"Portfolio ini juga akan menyelamatkan beliau daripada tercacat kerana tersilap dan tersepit dengan pergolakan politik dalam negeri. Hishammuddin sangat boleh. Beliau boleh jadi Henry Kesinger Malaysia atau Sadegh Ghotbzadeh, regim Khomeini lawan Jimmy Carter dulu," katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Nordin berkata, sekiranya, Mohamad dipilih sebagai TPM, Kementerian Kerajaan Tempatan sesuai diberikan kepada pemimpin itu selain kementerian berkaitan kewangan atau perdagangan.

Beliau berpandangan, Mohamad mampu membina perasaan 'bagus' dalam kalangan rakyat kerana kerajaan tempatan menyumbang besar kepada psikologi dan sentimen rasa amarah atau suka rakyat kepada kerajaan.

"Datuk Seri Mohamad Hasan mampu merancang perbandaran dan membina rasa nyaman pulang ke rumah. Lihat bandar Sendayan dan kampung-kampung jagaan beliau. Rakyat akan suka kerajaan. Rakyat terbanyak tak tahu jargon-jargon kenegaraan. Tapi mereka nampak setiap hari apa yang ada di depan mata mereka keluar rumah dan pulang ke rumah. Rumput panjang, lalang bersepah, plastik merata-rata, paip pecah, jalan berlubang membuat mereka berjiwa pemarah.

Artikel Berkaitan:

"Bunga-bungaan mekar, ada pejalan kaki yang redup dengan pohon hijau rendang subur, jalan cantik berturap hitam dan tak ada lubang, tiada sampah. Semua ini membikin hati riang dan senang. Mohamad Hasan cekap rancang dan urus ini," katanya.

Menurutnya, peranan Hishammuddin menjaga diplomasi dengan negara luar untuk memastikan dunia suka terhadap Malaysia manakala Mohamad pula mampu menjaga rakyat untuk sukakan kerajaan.

Nordin berkata, gabungan kedua-dua pemimpin ini akan membuatkan Muhyiddin tampil penuh elegan sebagai Perdana Menteri.