Penganggur didakwa edar dadah lebih 20kg

Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat lebih 20 kilogram pada Jumaat.
Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat lebih 20 kilogram pada Jumaat.
A
A
A

BATU PAHAT – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat lebih 20 kilogram.

Tertuduh, Muhammad Nur Hazreq Khairuddin, 36, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 20.712 kilogram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jeti Minyak Beku di sini sekitar jam 7 malam pada 21 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, pihaknya berjaya menumpaskan lima sindiket pembungkusan dan pengedaran dadah dengan nilai keseluruhan mencecah RM9 juta menerusi tujuh serbuan berasingan di negeri ini.

Menurutnya, dalam serbuan kedua, seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan di jeti Batu Pahat sebelum pemeriksaan terhadap sebuah pikap menemukan 20 bungkusan dadah disyaki syabu seberat lebih 20 kilogram bernilai kira-kira RM662,000.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sindiket yang dipercayai aktif sejak Februari lalu menggunakan modus operandi dengan menjadikan kenderaan sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum dihantar ke negara jiran menggunakan jalan laut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!