Podcast pertama bincang isu industri sawit negara

Mantan CEO FGV Fertilizer Sdn. Bhd Samsudin Yasir juga turut dijemput sebagai panel Podcast Sembang Sawit Emas bagi membincangkan hala tuju industri kelapa sawit dan baja di Malaysia.
Mantan CEO FGV Fertilizer Sdn. Bhd Samsudin Yasir juga turut dijemput sebagai panel Podcast Sembang Sawit Emas bagi membincangkan hala tuju industri kelapa sawit dan baja di Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Isu melibatkan industri kelapa sawit tidak banyak dibincangkan secara terbuka walaupun hakikatnya tanaman kelapa sawit merupakan tanaman komoditi utama di negara ini yang menyumbang kepada pendapatan perkapita negara.

Menyedari pentingnya isu industri kelapa sawit diketengahkan kepada umum, Agro Surge Fertilizer Sdn. Bhd. (Agro Surge) mengambil inisiatif dengan menerbitkan sebuah podcast berkonsepkan santai yang membincangkan pelbagai aspek melibatkan kelapa sawit.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agro Surge, Siti Hawa Jaafar penerbitan podcast ini dibuat bagi berkongsi pelbagai subjek dan isu melibatkan kelapa sawit, pembajaan, pemasaran dan pelbagai topik yang berkaitan tanaman berkenaan.

“Sebagai anak Felda Sungai Koyan 1, Raub (Pahang), kelapa sawit menjadi darah daging saya sejak kecil. A

“Apabila saya dewasa dan terlibat secara langsung dalam aspek pengilangan dan pemasaran baja untuk kelapa sawit, saya melihat terlalu banyak isu yang boleh dikongsikan dengan para peladang kelapa sawit dan orang awam,” katanya.

Jelas beliau, antara isu yang agak kritikal ialah bagaimana peladang boleh mengenalpasti baja tiruan, kaedah pembajaan yang betul, mengenalpasti tanah yang perlu dipulihkan, pemasaran hasil kelapa sawit dan pelbagai isu lain.

“Namun kerana kurangnya kesedaran topik-topik atau subjek yang saya nyatakan dibincangkan secara terbuka, saya merasa terpanggil untuk menerbitkan podcast ‘Sembang Sawit Emas’ yang yang mempunyai motto ‘Sebutir Baja, Seribu Tuai’,” ujar Hawa yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kewangan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Segamat, Johor.

Katanya lagi, Podcast ‘Sembang Sawit Emas’ mula bersiaran di pelantar TikTok dan Youtube Agro Surge pertengahan bulan April lalu dan antara tajuk yang diketengahkan ialah Baja Sawit Emas Bermula Dengan Angan-angan, Apa Itu Baja Sawit?, Baja Tulen atau Tiruan serta Harga Sawit Jatuh, Membaja atau Tidak?.

Artikel Berkaitan:

Siti Hawa dan Jamal bersama dengan pasukan penerbitan Podcast Sembang Sawit Emas.
Siti Hawa dan Jamal bersama dengan pasukan penerbitan Podcast Sembang Sawit Emas.



Podcast ini dikemudikan oleh Siti Hawa selaku pengacara dan ahli panelnya merupakan pelbagai individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri kelapa sawit negara.

Antara mereka yang dijemput ialah peladang dan pekebun sawit yang berjaya membuktikan pertanian ialah peniagaan yang menguntungkan iaitu Zakaria Said Ali.

Selain itu mantan, CEO FGV Fertilizer Sdn. Bhd, Samsudin Yasir juga turut dijemput sebagai panel bagi membincangkan hala tuju industri kelapa sawit dan baja di Malaysia.

Bagi Pengarah Operasi Agro Surge, Jamaludin Md. Desa, penerbitan podcast ‘Sembang Sawit Emas’ ini tidak sekadar mengikut trend semasa pada masa kini, namun ia sebagai langkah proaktif Agro Surge agar pelbagai isu melibatkan industri kelapa sawit dan baja di Malaysia dapat dibincangkan secara terbuka.

“Podcast ‘Sembang Sawit Emas’ bukan sekadar bercerita bagaimana membaja pokok kelapa sawit dengan betul, ia lebih daripada itu. Sebagai contoh, ramai peladang atau pekebun masih tidak cakna mengenalpasti antara baja palsu dengan baja tiruan. Apabila mereka membaja, pokok kelapa sawit yang mereka usahakan tidak mengeluarkan hasil sebagaimana yang sepatutnya.

“Sebab itu penting, peladang atau pekebun mendapat maklumat yang lebih jelas mengenai baja tiruan yang telah berada di pasaran baja di Malaysia sejak puluhan tahun lagi,” katanya.

Siti Hawa menunjukkan perbezaan antara baja kelapa sawit tulen (kiri) dengan baja tiruan.
Siti Hawa menunjukkan perbezaan antara baja kelapa sawit tulen (kiri) dengan baja tiruan.



Ujar beliau, selain itu, podcast terbitan mereka juga menampilkan individu yang pakar untuk berbicara mengenai pentingnya baja juga mendapat pengiktirafan halal. Bagi sesetengah orang, mungkin timbuk persoalan kenapa baja memerlukan sijil halal?

“Hakikatnya, ramai rakyat Malaysia tidak menyedari kepentingan isu ini kerana beranggapan sijil halal hanya diaplikasikan untuk makanan dan minuman sahaja, sedangkan baja juga perlu mendapat sijil halal.

“Cuba bayangkan jika formula baja yang dipasar dan digunakan oleh peladang-pekebun yang membaja ladang kelapa sawit masing-masing mengandungi bahan yang tidak halal, adakah ia wajar dibiarkan oleh umat Islam dan institusi agama Islam di negara ini?” jelas Jamal lagi.

Bagi membincangkan aspek tersebut, podcast Sembang Sawit Emas menampilkan individu yang memainkan peranan penting yang membangunkan Standard Halal di Malaysia iaitu Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Zulkefli Mohamad.

Menurut Zulkefli, baja tanaman juga perlu mendapat sijil halal kerana kita tidak mahu umat Islam di negara ini tidak terbabit dalam mengendalikan bahan-bahan tidak halal dalam pelbagai elemen kehidupan mereka.

“Halal sebenarnya perlu dilihat dalam pelbagai perspektif dan dimensi yang lebih luas. Bayangkan pelbagai peralatan kegunaan harian di rumah kita sebenarnya dibuat atau dihasilkan menggunakan bahan tidak halal seperti khinzir.

“Ia secara jelas, elemen halal tidak sahaja melibatkan bahan namun daripada aspek pemprosesan dan penghasilan sesuatu produk atau peralatan tersebut. Isu elemen tidak hanya melibatkan makanan dan minuman yang memerlukan sijil halal, malah semua peralatan kegunaan umat Islam seperti pinggan mangkuk, alat tulis, kenderaan, pakaian dan sebagainya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!