Baik pulih rumah mangsa letupan gas Putra Heights dimulakan

SHAH ALAM - Proses baik pulih rumah mangsa insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, akan dimulakan seawal minggu ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan itu dibahagikan kepada beberapa kategori bergantung kepada tahap kerosakan dialami setiap rumah.
“Bagi rumah yang mengalami kerosakan kecil dengan anggaran kos di bawah RM30,000, pemilik boleh melakukan kerja baik pulih sendiri dan membuat tuntutan semula kepada PBT (pihak berkuasa tempatan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Sewa Rumah Mangsa Insiden Kebakaran Paip Gas Putra Heights di Foyer, Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, di sini pada Rabu.
Amirudin memberitahu, selain tuntutan individu, pemilik juga boleh mengemukakan tuntutan melalui persatuan penduduk atau ketua kampung yang akan menyerahkan permohonan itu kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) secara mingguan.
"Kita mahu mudahkan proses dan tak perlu penduduk datang ke MBSJ setiap hari kerana kita sudah beri taklimat kepada ketua kampung dan persatuan penduduk agar proses tuntutan dapat diselaraskan,” ujarnya.
Tambahnya, rumah yang mengalami kerosakan lebih serius akan dibaik pulih melalui dua saluran utama, iaitu Sime Darby selaku pemaju kawasan Putra Heights dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi kawasan Kampung Sungai Baru.
Jelasnya, kerja baik pulih akan melibatkan pembaikan asas seperti pendawaian, lampu, dan kipas, manakala aksesori tambahan tidak akan dibiayai.
"Ini semua hasil sumbangan dan bantuan kerajaan Persekutuan, dan fokus kita adalah memastikan rumah kembali selamat dan selesa untuk didiami,” katanya.
Amirudin berkata, kerajaan Persekutuan memperuntukkan hampir RM40 juta untuk kerja baik pulih.
"Kerajaan negeri bersedia menyambung bantuan sewa rumah sehingga RM2,000 sebulan jika kerja membaik pulih mengambil masa lebih enam bulan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!