Laporan teknikal letupan paip gas Putra Heights siap sebulan lagi - Amirudin

Amirudin menyantuni mangsa-mangsa kejadian insiden kebakaran pada Majlis Penyerahan Bantuan Sewa Rumah kepada Mangsa Insiden Kebakaran Paip Gas Putra Heights di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Rabu.
Amirudin menyantuni mangsa-mangsa kejadian insiden kebakaran pada Majlis Penyerahan Bantuan Sewa Rumah kepada Mangsa Insiden Kebakaran Paip Gas Putra Heights di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan teknikal berhubung insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dijangka dimuktamadkan dalam tempoh sebulan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, siasatan insiden itu sedang dijalankan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sejak hari pertama kejadian.

Menurut beliau, beberapa penutupan jalan yang dilakukan bagi tujuan siasatan juga telah dibuka semula kepada orang awam.

"Hanya Pos Kawalan Hadapan di kawasan bencana akan dikekalkan bagi mengawal kawasan dan memberi laluan kepada JKKP serta agensi teknikal lain meneruskan siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Sewa Rumah Mangsa Insiden Kebakaran Paip Gas Putra Heights di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Rabu.

Amirudin memberitahu, hasil laporan itu nanti akan dibentangkan kepada Kabinet dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Ujar beliau, laporan itu juga akan dibuka kepada pihak luar sekiranya terdapat keperluan untuk rujukan atau semakan.

Tambahnya, kerajaan negeri juga akan menubuhkan sebuah jawatankuasa panel bebas bagi menilai dapatan laporan berkenaan serta mencadangkan langkah pencegahan agar insiden sama tidak berulang.

Artikel Berkaitan:

"Selangor mempunyai beberapa jajaran paip gas dan kawasan berisiko lain seperti talian bervoltan tinggi dan paip air bertekanan tinggi.

"Langkah ini penting bagi memperkemas SOP (prosedur operasi standard) dan dijadikan pengajaran kepada seluruh pihak,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan siasatan oleh pihak polis terhadap kemungkinan kecuaian, khianat atau unsur jenayah telah ditamatkan pada Rabu.

"Laporan sedang disiapkan dan dijangka selesai dalam tempoh seminggu sebelum dibentangkan untuk makluman masyarakat.

"Kita akan menilai dapatan tersebut melalui jawatankuasa yang akan dibentuk agar keseluruhan proses siasatan berjalan secara telus dan menyeluruh,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!