Bot pam tidak 'bertuan' diguna cuba seludup petrol, tepung

Petrol dan tepung yang berjaya dirampas PPM di perairan Damaran, Kudat.
Petrol dan tepung yang berjaya dirampas PPM di perairan Damaran, Kudat.
A
A
A

KUDAT – Cubaan menyeludup keluar barang kawalan bersubsidi ke negara jiran gagal apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat mengesan sebuah bot pam yang ditinggalkan tanpa pemilik di perairan Damaran, awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, bot pam berkenaan ditemui dalam keadaan mencurigakan semasa rondaan PPM dijalankan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, pemeriksaan ke atas bot itu menemui 12 tong drum berisi 200 liter petrol dan 21 kotak mengandungi 10 kilogram tepung setiap satu.

“Tiada individu berada di kawasan sekitar dan kita percaya bot ini ditinggalkan sebelum sempat diseludup ke negara jiran.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM16,445 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Lori bersama tangki digunakan untuk memindahkan minyak kelapa sawit mentah tanpa permit dan lesen dikesan PPM di Kampung Nabutan, Ranau.
Lori bersama tangki digunakan untuk memindahkan minyak kelapa sawit mentah tanpa permit dan lesen dikesan PPM di Kampung Nabutan, Ranau.

Beliau berkata, semua barang rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

Katanya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperketat kawalan bagi membanteras aktiviti penyeludupan demi kesejahteraan negara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam kes berasingan di Kampung Nabutan, Ranau, PPM mengesan aktiviti pemindahan minyak kelapa sawit mentah tanpa permit dan lesen sah.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua tangki dan sebuah lori sedang digunakan untuk memindahkan minyak sawit mentah dari satu lori ke lori lain.

“Lima individu berusia antara 20 hingga 63 tahun berada di lokasi ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah,” katanya.

Menurut Mohd Nazri, semua tangkapan dan barang rampasan termasuk kenderaan yang digunakan – dengan nilai keseluruhan melebihi RM1 juta – telah diserahkan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!