Mahkamah terima bantahan Sanusi tolak surat kompaun sebagai barang kes

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi Alor Setar pada Selasa menerima bantahan pihak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk tidak menerima surat kompaun berjumlah RM500,000 daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah kepada Perbadanan Menteri Besar (MBI) bertarikh 4 Oktober 2022 sebagai barang kes.
Peguam yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, Yusfarizal Yussof berkata, ini kerana surat berkenaan telah dibatalkan oleh PTG dan sesuatu yang tidak wujud tidak boleh dijadikan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.
Katanya, bekas Pengarah PTG negeri, Datuk Mohd Fauzi Mustaffa juga telah memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee bahawa surat tersebut dibatalkan selepas seorang individu mengaku bertanggungjawab terhadap kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kampung Chong, Sik, pada keesokan harinya.
“Hari ini kita bantah untuk ia dijadikan bukti sebab ia tidak wujud. Mahkamah terima bantahan kita dan bersetuju bahawa surat yang sudah dimusnahkan tidak boleh dijadikan barang kes.
“Jadi selepas ini ketika hujahan pihak pembelaan tidak lagi boleh bersandarkan pada surat berkenaan,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah di sini pada Selasa.
Terdahulu, Mohd Fauzi ketika prosiding memberitahu mahkamah bahawa surat itu memang wujud pada 4 Oktober 2022 dan beliau sendiri yang menandatangani surat berkenaan.
“Namun, ia dibatalkan pada hari yang sama.Surat tersebut tidak pernah dihantar kepada MBI selepas siasatan lanjut oleh pasukan penguat kuasa mendapati seorang suspek telah mengaku terlibat dalam kecurian tersebut.
“Surat kompaun baharu kemudiannya dikeluarkan pada 5 Oktober 2022 kepada Ho Chung Ming,” katanya kepada mahkamah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sesi perbicaraan juga telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau bersetuju dengan Yusfarizal bahawa Muhammad Sanusi ketika memerintah tidak pernah menggunakan dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) untuk pembangunan.
“Walaupun ketika itu Saifuddin menjawab beliau bersetuju tetapi dengan penjelasan tetap maksudnya beliau bersetuju dengan apa yang saya cadangkan,” jelasnya.
Prosiding yang masuk hari kedua itu tamat sekitar jam 4.30 petang dan akan disambung semula pada 11 Mei depan.
Selain Yusfarizal, Sanusi juga diwakili oleh Wan Rohimi Wan Daud, Mohd Faizi Che Abu, and Nur Iffah Hizwani Omar, manakala pasukan pembelaan terdiri daripada peguam Navpreet Singh, William Leong, dan Sakina Siraj.
Sanusi memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan tersebut melalui Faizi and Associates di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 3 Ogos 2023.
Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) didakwa memfitnahnya dengan tuduhan menyalahgunakan dana Marris.
Menurut pendakwaan itu, Saifuddin didakwa membuat kenyataan fitnah semasa berucap pada Program Jelajah Perpaduan dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Guar Chempedak di Yan pada 15 Julai 2023 sekitar 8.30 malam.
Ucapan itu adalah sebahagian daripada kempen politik PH dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos.
Muhammad Sanusi mendakwa Saifuddin membuat komen fitnah menuduh beliau sebagai Menteri Besar dan wakil MBI mencuri REE di Kampung Chong, Sik dan mendapat liputan media meluas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!