Pistol milik ADUN Hulu Kinta dirampas

IPOH - Polis telah merampas pistol milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai susulan siasatan dakwaan ugutan jenayah menggunakan senjata api pada 13 April lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pistol jenis Kimber Micro 9 ESV itu telah diserahkan wakil rakyat terbabit pada 19 April lalu bagi tujuan siasatan.
Menurut beliau, pihaknya juga telah menghantar permohonan pembatalan permit pemilikan senjata api kepada Ketua Lesen Pasukan di Bukit Aman.
"Setakat ini kita telah menyokong untuk membatalkan permit pemilikan senjata api kepada Bukit Aman dan senjatanya pun telah kita rampas dan disimpan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh.
"Siasatan untuk kes itu masih diteruskan dan kita tunggulah (hasil siasatan)," katanya ketika ditemui pemberita pada program Ujian Kemahiran Menembak Antara Agensi sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 di Lapang Sasar Kontinjen Perak di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Noor Hisam berkata, pembatalan permit pemilikan dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi individu yang terlibat dengan mana-mana kes.
“Ia bukan dibuat kerana kita pilih kasih tetapi mengikut SOP yang mana semua pembatalan di bawah bidang kuasa Ketua Polis Negara.
"Seramai 13 orang telah diambil keterangan dan kita juga sedang menunggu minit (arahan lanjut) dari pejabat Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes ini," katanya.
Satu video berdurasi 1 minit dan 5 saat tular menunjukkan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Kalai mendakwa Muhamad Arafat menunjukkan pistol kepada ahli-ahli yang sedang merayu undi pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat Cabang Tambun.

Bagaimanapun Muhamad Arafat melalui satu kenyataan menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan ia sebagai fitnah setiap kali pemilihan parti berlangsung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
