Pelajar kolej vokasional putus kaki kanan

KUALA KRAI - Seorang pelajar kolej vokasional berusia 19 tahun putus kaki kanan selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Bechah Salak, Jalan Batu Balai–Chuchoh Puteri di sini, malam Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu dari arah Batu Balai menghala ke Kampung Mengkebang, sementara mangsa datang dari arah bertentangan.
"Apabila sampai di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya dan telah bertembung dengan motosikal yang ditunggangi mangsa.
"Akibat kemalangan tersebut pelajar terbabit mengalami kecederaan parah termasuk putus kaki kanan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu kereta yang cuba memotong kenderaan lain sehingga menyebabkan pertembungan dengan motosikal terbabit.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu, terutama di laluan gelap yang tidak mempunyai lampu jalan.
"Kes disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Siasatan terperinci akan dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai atau menghubungi talian 09-9666222," katanya.
Ringkasan AI
- Pelajar kolej vokasional berusia 19 tahun putus kaki kanan selepas motosikalnya bertembung dengan kereta di Kampung Bechah Salak, Kuala Krai
- Mangsa mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra
- Kemalangan berlaku ketika kereta cuba memotong kenderaan lain lalu bertembung dengan motosikal mangsa
- Pemandu kereta didakwa menyebabkan kemalangan disebabkan tindakan memotong kenderaan
- Kes sedang disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

