Dadah lebih RM82 juta cuba diseludup ke Korea Selatan, Jepun dirampas

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan rumah sewa dan kondominium di Kajang di sini sebagai stor dan lokasi pembungkusan terbongkar selepas diserbu polis pada Khamis dan Jumaat lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, pihaknya menahan tiga lelaki tempatan berusia 27 hingga 39 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM82.14 juta.
"Dadah berkenaan dikesan dibawa masuk dari Amerika Latin menerusi jalan laut sebelum dihantar ke Pelabuhan Klang.
"Berdasarkan siasatan, dadah ini disembunyikan dalam barangan yang diisytiharkan sebagai serpihan plastik bagi mengaburi pihak berkuasa, sebelum dibawa ke tiga lokasi di Kajang," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, pada Selasa.
Mat Zani berkata, dalam serbuan pertama, ketiga-tiga suspek utama ditahan di sebuah rumah tiga tingkat di Taman Nadayu, pada jam 4.30 petang, Khamis.
"Ketika serbuan, mereka sedang menjalankan kerja-kerja pembungkusan sebelum mengedarkannya untuk pasaran luar negara di Korea Selatan dan Jepun," katanya.

Beliau berkata, polis merampas 80 bungkusan dan 56 guni berisi dadah syabu serta pelbagai peralatan pembungkusan dadah di rumah berkenaan.
"Dalam serbuan kedua, kita merampas 69 bungkusan plastik ketamin dan tiga bungkusan dadah syabu di sebuah apartment di Cheras Perdana, pada jam 1.15 pagi Jumaat.
"Serbuan ketiga pula, kita merampas 81 bungkusan berisi ketulan ekstasi dan 26 bungkusan dadah ketamin di sebuah kondominium di Cheras pada jam 1.50 pagi, Jumaat," katanya.
Mat Zani berkata, jumlah dadah yang dirampas seberat 2.165 tan serta mampu menampung 10.5 juta pengguna.
"Kita turut melaksanakan tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988 dengan menyita empat kenderaan yang dianggarkan bernilai RM95,000," katanya.
Beliau berkata, modus operandi sindiket yang aktif sejak Oktober tahun lalu itu menjadikan rumah sewa sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan dan luar negara.
Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati hanya seorang suspek positif dadah methamphetamine.
"Semakan rekod lampau mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.
"Kesemua suspek direman tujuh hari bermula Jumaat hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
