Gabenor Indonesia malu, rakyat terpaksa bergantung pada Malaysia

Zainal Arifin Paliwang. Foto Agensi
Zainal Arifin Paliwang. Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Gabenor Kalimantan Utara (Kaltara), Zainal Arifin Paliwang meluahkan rasa kecewa dan kesal terhadap keadaan rakyat di kawasan sempadan Indonesia-Malaysia yang terpaksa bergantung kepada Malaysia bagi mendapatkan keperluan asas.

Menurut beliau, keadaan itu amat memalukan kerana penduduk di kawasan tersebut lebih bergantung kepada negara jiran berbanding tanah air sendiri.

“Saya sendiri pernah mengalami perjalanan darat dari Malinau ke Krayan yang mengambil masa tiga hari dua malam.

“Malah, kami terpaksa bermalam di tepi jalan akibat kenderaan terperangkap dalam lumpur dan hanya dapat ditarik menggunakan jentera berat ketika hujan,” katanya dalam mesyuarat kerja bersama Komisi II Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Jakarta pada Isnin.

Zainal turut mendedahkan bahawa jalan raya dan jambatan yang rosak teruk memaksa penduduk membina jambatan sementara daripada batang kayu secara bergotong-royong, semata-mata untuk memastikan bekalan keperluan asas dapat disalurkan ke kawasan mereka.

Akibat kesukaran akses tersebut, harga barangan asas melonjak tinggi. Misalnya, harga satu beg simen di Krayan mencecah sehingga Rp900,000 (RM273), hampir sama dengan harga di kawasan paling terpencil di Papua.

Kerajaan Provinsi Kaltara memperuntukkan subsidi sebanyak Rp15 bilion (RM3.9 juta) setahun untuk kos pengangkutan orang dan barang ke kawasan sempadan.

Bagaimanapun, Zainal menjangkakan jumlah itu mungkin terpaksa dikurangkan tahun ini berikutan dasar efisiensi kerajaan pusat.

Dalam usaha mengatasi kebergantungan kepada Malaysia, Zainal mencadangkan agar kenderaan milik penduduk Krayan yang menggunakan nombor pendaftaran Malaysia diberikan status khas, seperti yang diamalkan di Batam dan Sabang, agar tetap di bawah pengawasan Republik Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang merancang untuk membina laluan penghubung baharu antara Kalimantan Utara dan Kalimantan Timur bagi memudahkan pengedaran barangan asas dari Samarinda, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap Sarawak.

“Pembangunan infrastruktur di kawasan perbatasan adalah sangat penting untuk memperkukuh kedaulatan negara dan menjamin keadilan sosial bagi seluruh rakyat,” tegas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!