Malaysia pelabur keempat terbesar Indonesia

Rosan Roeslani. Agensi
Rosan Roeslani. Agensi
A
A
A

JAKARTA – Malaysia kini tersenarai dalam lima pelabur asing terbesar di Indonesia, dengan jumlah pelaburan mencecah AS$1 bilion (kira-kira RM4.8 bilion) pada suku pertama tahun 2025.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri Pelaburan dan Hilirisasi Indonesia merangkap Ketua Badan Koordinasi Penanaman Modal (BKPM), Rosan P. Roeslani, dalam satu sidang media berhubung pencapaian pelaburan terkini.

Menurut Rosan, Malaysia berada pada kedudukan keempat pelabur terbesar itu didorong oleh komitmen pelaburan besar yang diumumkan ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia sebelum ini.

"Malaysia kini menjadi pelabur keempat terbesar di Indonesia, antaranya hasil lawatan rasmi Perdana Menteri yang membawa komitmen pelaburan hampir AS$900 juta (lebih RM4.3 bilion) dalam sektor tenaga boleh diperbaharui yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya pada Selasa.

Dalam senarai negara pelabur asing langsung (FDI) tertinggi, Singapura kekal di tempat pertama dengan pelaburan berjumlah AS$4.6 bilion (sekitar RM22 bilion), diikuti Hong Kong sebanyak AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dan China AS$1.8 bilion (RM8.6 bilion) Malaysia dan Jepun masing-masing merekodkan pelaburan sekitar AS$1 bilion (RM4.8 bilion).

Antara sektor utama yang menerima pelaburan asing tertinggi ialah logam asas, produk logam bukan mesin dan peralatan, perlombongan, pengangkutan, pergudangan, telekomunikasi, perkhidmatan lain, serta industri kimia dan farmaseutikal. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!