Asrama SMK Tinggi Setapak terbakar, 91 pelajar selamat

Pasukan bomba memadamkan kebakaran di sebuah blok asrama SMK Tinggi Setapak pada Isnin.
Pasukan bomba memadamkan kebakaran di sebuah blok asrama SMK Tinggi Setapak pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 91 pelajar selamat dalam kejadian kebakaran di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak di sini pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian pada jam 8.41 malam menerusi panggilan MERS 999.

"Anggota polis peronda (MPV) selain pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah dikejarkan ke lokasi.

"Operasi turut melibatkan keanggotaan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan pelajar yang tinggal di asrama lelaki itu seramai 96 orang.

Jelasnya, seramai 91 pelajar yang berada di asrama dalam keadaan selamat tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa, manakala lima lagi pelajar lelaki lagi masih berada di rumah dan belum datang ke asrama.

"Punca kebakaran dalam siasatan oleh pihak forensik bomba," ujarnya.

Susulan kejadian itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi jaminan bantuan segera akan disalurkan kepada sekolah berkenaan membabitkan kebakaran sebuah blok bangunan asrama.

Dalam kejadian itu, sebuah blok asrama SMK Tinggi Setapak yang menempatkan pelajar lelaki terbakar, semua pelajar dilaporkan selamat kerana kejadian berlaku ketika mereka berada di surau sekolah untuk menunaikan solat Isyak.

Artikel Berkaitan:

Komander Operasi Bomba TPgB II Japari Tajuddin memaklumkan kebakaran membabitkan tingkat satu bangunan itu mengakibatkan 80 peratus bahagian asrama musnah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!