DBKL lancar CRIP di Pasir Baru, PPR Beringin

Majlis pelancaran disempurnakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif (tengah).
Majlis pelancaran disempurnakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif (tengah).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan Pelan Pelaksanaan Daya Tahan Komuniti (CRIP) bagi dua kawasan penting di ibu kota, iaitu Kampung Pasir Baru dan Program Perumahan Rakyat (PPR) Beringin.

Pelan CRIP ini merupakan sebahagian daripada Program Daya Tahan Iklim Bandar (UCRP) hasil kerjasama strategik antara DBKL, Yayasan Z Zurich, Zurich Malaysia dan C40 Cities.

Menurut DBKL, Pendekatan inovatif ini berpusatkan komuniti dan bertujuan memperkasakan penduduk setempat dalam merangka penyelesaian berimpak tinggi terhadap cabaran perubahan iklim.

"Kampung Pasir Baru dan PPR Beringin dikenal pasti sebagai antara kawasan paling terdedah kepada risiko iklim, termasuk banjir dan gelombang haba.

"Oleh itu, proses penyediaan pelan ini melibatkan libat urus menyeluruh bersama komuniti, termasuk bengkel kolaboratif, penilaian risiko, dan konsultasi dengan pakar serta agensi kerajaan," ujar DBKL dalam satu kenyataan.

Maimunah (tengah) bersama pihak yang terlibat dalam perlaksanaan CRIP.
Maimunah (tengah) bersama pihak yang terlibat dalam perlaksanaan CRIP.

Terdahulu, majlis pelancaran program berkenaan yang berlangsung di Auditorium Bandaraya, Menara DBKL 1 di sini disempurnakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Ismadi Sakirin; Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Malaysia, Junior Cho; Ketua Yayasan Z Zurich, Gregory Renand; dan Pengarah Serantau C40 Cities, Murali Ram.

DBKL menambah, antara tindakan utama dilaksanakan termasuk pemasangan sistem amaran awal banjir di Kampung Pasir Baru dan program celik kewangan bagi penduduk PPR Beringin, inisiatif yang dijangka meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan adaptasi masyarakat terhadap impak iklim.

Artikel Berkaitan:

Jelas DBKL, CRIP akan dijadikan dokumen hidup yang sentiasa dikemaskini berdasarkan keperluan semasa, sekaligus memastikan komuniti kekal relevan dan bersedia.

"Ia juga akan disepadukan ke dalam pelan adaptasi iklim Kuala Lumpur secara menyeluruh dan menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan Haba pertama di bandar raya ini.

Pelaksanaan CRIP mencerminkan komitmen berterusan DBKL dan rakan strategik dalam memperkasa komuniti rentan melalui tindakan iklim yang inklusif dan lestari, demi membentuk bandar yang lebih selamat, berdaya tahan dan mampan untuk masa depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!