'Orang luar' jahil Perlembagaan negara

Tangkap layar laporan akhbar The Guardian kelmarin.
Tangkap layar laporan akhbar The Guardian kelmarin.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak antarabangsa yang melabelkan situasi perubahan kuasa kerajaan di Malaysia sebagai 'rampasan kuasa istana' adalah mereka yang jahil tentang Perlembagaan yang telah termaktub di negara ini.

Profesor Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Zaid Ahmad berkata, orang luar tidak wajar untuk membuat kenyataan sedemikian apatah lagi proses perubahan kuasa tersebut telah berlangsung secara tenang.

Menurutnya, rakyat Malaysia sendiri berada dalam keadaan aman berdepan dengan situasi yang agak sukar itu kerana memahami amalan demokrasi berparlimen dan Raja Perlembagaan.

"Kalau nak disifatkan sebagai rampasan kuasa, itu menunjukkan mereka memang jahil tentang Perlembagaan kita. Tentang acuan perundangan dalam negara kita.

"Kita adalah sebuah negara merdeka yang berdaulat yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

"Isu yang baru-baru berlaku ini, membuktikan raja benar-benar menjadi institusi yang terlalu penting. Institusi Raja Berperlembagaan dan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara telah memainkan peranan yang penting untuk menenangkan dan mengawal keadaan," katanya kepada Sinar Harian.

Zaid berkata, orang luar tidak boleh melihat Malaysia dari sudut acuan mereka sendiri sebaliknya perlu melihatnya berasas kepada lunas undang-undang dan acuan sistem politik Malaysia.

Katanya, Seri Paduka bertindak berasas kepada undang-undang yang ada di bawah Perlembagaan negara.

Artikel Berkaitan:

"Jangan ada yang kata unsur penipuan dan sebagainya. Apa yang berlaku baru-baru ini adalah percaturan ahli-ahli politik Malaysia. Pertukaran rejim dan juga perubahan yang berlaku ke atas pakatan politik yang menyebabkan berlakunya perubahan rejim.

"Ini perkara yang diizinkan dalam undang-undang kita. Ia tak ada salah. Cuma bagi ahli politik, bagi pihak yang kehilangan kuasa dia rasa itu rampasan kuasa. Tapi apa yang berlaku tidak salah kerana dia tak boleh dituduh di mana-mana mahkamah," katanya.

Beliau berkata, dunia sepatutnya dapat menilai apa yang berlaku ini secara positif dengan melihat bagaimana Seri Paduka dengan tenang bertemu dengan rakyat (media) ketika krisis politik itu.

"Ini satu yang sangat unik di Malaysia yang Seri Paduka tunjukkan kepada dunia bahawa kita memang mempunyai kematangan untuk uruskan situasi seperti ini," katanya.

Justeru, katanya, apa yang mampu dilakukan oleh Malaysia khususnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru dilantik adalah membuktikan bahawa negara ini mempunyai kerajaan yang berintegriti.

"Oleh kerana Perdana Menteri telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, bola duduk di kaki beliau sekarang ini.

"Terpulang kepada beliau untuk tunjukkan kepada orang ramai, kepada dunia bahawasanya kita mempunyai kerajaan yang berasas kepada 'rules of law'.

"Buktikan supaya tak ada persepsi bahawa apa yang berlaku ini ada tujuan sebaliknya. Kalau tidak imej Perdana Menteri kita akan tercalar," katanya.