Lihatlah dengan mata helang, bukan mata lalat

Serambi Makkah perlu dilindungi dan dibersihkan daripada gejala jenayah sebagaimana yang didedahkan oleh Polis Kelantan.
Serambi Makkah perlu dilindungi dan dibersihkan daripada gejala jenayah sebagaimana yang didedahkan oleh Polis Kelantan.
A
A
A

ADA pihak beranggapan pendedahan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berhubung jenayah pil kuda, rogol dan sumbang mahram seolah-olah membuka pekung penduduk di negeri serambi Makkah itu.Apatah lagi penduduk di negeri itu berpegang teguh dengan ajaran Islam.

Setiap minggu segenap pelosok negeri dipenuhi majlis-majlis ilmu agama yang menjadi ‘imunisasi’ dalam membendung hawa nafsu. Namun, ada juga yang tewas dalam melawan gelora hawa nafsu sehingga terjebak dengan penyalahgunaan dadah serta gejala sosial seperti sumbang mahram dan rogol.

Melihat kepada pendedahan Mohd Yusoff itu, tak perlulah ada pihak yang ‘koyak’. Bertenanglah, ini adalah ‘wake-up call’ bermula daripada pemimpin peringkat keluarga, kampung, daerah, negeri sehinggalah pentadbir negara bahawa masalah ini bukan di peringkat awal. Jika tidak dibendung segera, ia akan menjadi barah yang boleh membunuh sahsiah diri generasi masa hadapan negara.

Pendedahan berani Mohd Yusoff itu perlu dilihat secara mata helang dan bukan mata lalat, walaupun ada wakil rakyat kurang senang dengan pendedahan Ketua Polis Kelantan itu semasa persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, minggu lalu.

Persidangan DUN sepatutnya menjadi medan untuk mencurahkan idea dan menjadi jalan penyelesaian secara tuntas terhadap masalah ini, bukannya menghentam seolah-olah pendedahan itu bermotifkan politik atau sengaja mahu memburuk-burukkan imej Kelantan.

Sebagai pembuat dasar dan pentadbir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah diberi mandat oleh rakyat perlu menggalas tanggungjawab tersebut sebaik mungkin dan berpadu tenaga dengan semua pihak dalam berdepan masalah berkenaan.

Begitu juga ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang mempunyai tanggungjawab sama untuk membawa masalah ini dan membahas secara tuntas. Ini soal masa depan generasi akan datang. Patutkah kita membiarkan mereka mengamalkan gaya hidup bebas tanpa berpandukan kepada ajaran Islam?

Semasa mendedahkan perkara tersebut, Mohd Yusoff dengan tegas menyebut apa yang dilakukan bertujuan memberi peringatan kepada ibu bapa supaya memantau pergerakan anak masing-masing. Kebimbangan utama pihaknya ialah peningkatan kes-kes rogol dan sumbang mahram melibatkan kanak-kanak bawah umur. Laporan yang dibentangkan itu hanya merujuk situasi semasa di Kelantan dan bukannya perbandingan antara negeri.

Artikel Berkaitan:

Hasil pendedahan itu juga, Mohd Yusoff memberitahu, sudah ada mangsa berani tampil membuat laporan polis. Jadi, di mana salahnya tindakan polis itu. Setiap mukmin harus menasihati saudaranya dan membimbingnya ke arah kebaikan dan menunjukkan jalan yang benar walaupun sukar untuk melakukannya umpama laluan penuh onak duri.

Laporan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut mendedahkan bahawa Kelantan mencatatkan 21,338 kes berkaitan dadah tahun lalu, menjadikannya negeri ketiga tertinggi selepas Selangor dan Johor. Berdasarkan perbandingan mengikut jumlah penduduk, Kelantan mencatatkan kadar tertinggi iaitu 980 penagih bagi setiap 100,000 penduduk.

Faktor geografi Kelantan yang bersempadan Thailand turut menyumbang kepada isu ini apabila akses kepada bekalan dadah lebih mudah. Dadah sintetik seperti syabu, pil kuda dan pil yaba menjadi pilihan utama penagih di Kelantan.

Menyedari ancaman ini, kerajaan negeri tidak melepaskan tangan, sebaliknya kini menjalankan sesi libat urus bersama agensi berkaitan bagi merangka pelan tindakan bersepadu menangani gejala sosial, khususnya penyalahgunaan dadah.

Usaha ini bagaimanapun memerlukan sokongan padu semua pihak termasuk institusi pendidikan, komuniti setempat dan ibu bapa. Pendidikan seksual yang bersesuaian di sekolah, kawalan penggunaan internet dan sokongan kepada mangsa perlu diperhebat.

Serambi Makkah perlu dilindungi dengan tidak membiarkan gejala ini terus menular. Tindakan segera perlu diambil bagi menyelamatkan generasi akan datang.

*Hazelen Liana Kamarudin ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!