Kemasukan dadah turun hampir 60 peratus selepas laluan haram ditutup - Polis Kelantan

Mohd Yusoff (kanan) menyambut ketibaan Mohd Nassuruddin (tengah) yang menghadiri sambutan Aidilfitri IPK Kelantan di Kota Bharu pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Yusoff (kanan) menyambut ketibaan Mohd Nassuruddin (tengah) yang menghadiri sambutan Aidilfitri IPK Kelantan di Kota Bharu pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Langkah penutupan laluan haram di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand sejak Disember tahun lalu berjaya mengurangkan kemasukan dadah hampir 60 peratus dalam tempoh suku pertama tahun ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil pemantauan harian bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin, Cawangan Khas dan kerjasama tentera telah membawa kepada penurunan ketara penyeludupan.

MOHD YUSOFF
MOHD YUSOFF

Katanya, sebelum ini kira-kira 400 hingga 500 orang dikesan menyeberangi sempadan secara haram setiap hari namun jumlah itu kini kurang daripada 20 individu sehari.

“Ini hasil penguatkuasaan ketat selepas pengisytiharan penutupan laluan haram di sempadan, selain kawalan di semua laluan tikus,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Isnin.

Mohd Yusoff (kanan) menyambut kedatangan Mohd Nassuruddin (kiri). FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Yusoff (kanan) menyambut kedatangan Mohd Nassuruddin (kiri). FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Mohd Yusoff berkata, penurunan mendadak kemasukan dadah bukan sahaja membantu mengurangkan masalah penagihan, malah turut memberi kesan positif kepada penurunan jenayah kekerasan dan jenayah harta benda di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, walaupun jumlah kes jenayah narkotik bagi tempoh Januari hingga Mac 2025 meningkat sedikit sebanyak 1 peratus berbanding tempoh sama 2024, namun jumlah tangkapan menurun dua peratus.

“Sebanyak 7,138 kes direkodkan pada suku pertama tahun ini berbanding 7,056 kes tahun lalu, manakala tangkapan suspek narkotik mencatatkan penurunan daripada 7,568 orang kepada 7,417 orang,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, paling membanggakan apabila penurunan kemasukan dadah sebanyak 58 peratus itu menyebabkan rampasan dadah juga menurun, daripada RM5.28 juta pada tahun lalu kepada RM2.23 juta bagi tempoh sama tahun ini.

“Ini membuktikan usaha penutupan laluan haram sepanjang Sungai Golok yang berkuat kuasa 1 Disember tahun lali sangat berkesan dalam membanteras penyeludupan dadah,” katanya.

Mohd Yusoff (tengah) bergambar bersama wakil media yang hadir pada sambutan Aidilfitri di IPK Kelantan. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Yusoff (tengah) bergambar bersama wakil media yang hadir pada sambutan Aidilfitri di IPK Kelantan. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Beliau berkata, semua ketua jabatan narkotik diarah memperbanyakkan tangkapan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya bagi memastikan penagih berulang dikenakan hukuman berat.

“Kalau lima tahun mereka dipenjara, sekurang-kurangnya dalam tempoh itu kejadian jenayah pecah rumah, samun dan kecurian dapat dikurangkan,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, polis juga mengesan modus operandi baharu iaitu penyeludupan melalui sungai dan laut dan kawalan kini diperketat di perairan.

Beliau berkata, walaupun sukar mencapai kawalan 100 peratus kerana kawasan sempadan sepanjang 136.4 kilometer itu luas, namun usaha memperketatkan kawalan terus dilaksanakan.

“Kita tidak bercakap kosong kerana segala tindakan ini dibuktikan dengan statistik yang ada,” katanya.

Tambah beliau, analisis data harian, mingguan dan bulanan digunakan untuk mengenal pasti kawasan panas seperti Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Pasir Puteh untuk operasi berfokus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!