Kerajaan minoriti rapuh, jejas usaha tadbir urus negara

Dr Sivamurugan
Dr Sivamurugan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan minoriti yang tidak memperoleh kerusi majoriti tetapi terbina dengan meraih sokongan pihak lain bagi meneruskan usaha pentadbiran dilihat sangat rapuh dan tidak mampu bertahan lama.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, apabila kerajaan rapuh, isu politik akan berterusan dan boleh menjejaskan usaha untuk mentadbir urus negara.

Beliau berkata, ia termasuk dalam usaha menangani isu ekonomi, kesihatan, pendidikan, kos sara hidup dan sebagainya.

"Kerajaan minoriti ini hanya akan mencerminkan kerajaan yang lebih mengutamakan politik dari yang lain.

"Impaknya juga bukan dirasai pemimpin tetapi masyarakat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dalam pada itu, ketika ditanya kemungkinan kerajaan baharu ketika ini yang ditubuhkan menerusi undian majoriti mudah boleh bertukar menjadi kerajaan minoriti, Sivamurugan berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku.

Menurutnya, ia boleh berlaku sekiranya selepas ini ada ahli-ahli Parlimen yang keluar dari gabungan Perikatan Nasional.

"Namun katanya, jika perkara itu berlaku apa yang perlu diutamakan adalah pembubaran Parlimen dan tidak perlu lagi kepada kerajaan minoriti.

Artikel Berkaitan:

"Sebab jika kita lihat sepanjang tempoh seminggu lalu, ramai pemimpin yang dilihat seolah-olah tiada prinsip, keluar masuk parti seolah-olah tiada nilai.

"Lebih elok, jika keadaan itu muncul semula barangkali atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong lebih baik bubar Parlimen daripada meneruskan keadaan yang turut menjejaskan kredibiliti serta imej pemimpin terlibat," katanya.