Penduduk DUN Nenggiri dapat 'durian runtuh'

GUA MUSANG - [DIKEMAS KINI] Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menerima 'durian runtuh' daripada kerajaan apabila beberapa projek untuk kepentingan mereka diluluskan selepas 254 hari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dipilih sebagai wakil rakyat di sini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penantian lebih 40 tahun peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bakal berakhir apabila mereka akan menerima geran bagi lot tanah yang diusahakan mereka.
"Pemindahan pemilikan tanah ini adalah yang pertama dilaksanakan oleh Kesedar.
“Hari ini saya menyaksikan proses menandatangani borang pindah milik tanah diantara peneroka dengan Ketua Jajahan. Ini adalah yang pertama kali sejak mereka menjadi peneroka RKT di sini.
“Perkara ini dibangkitkan ketika PRK DUN Nenggiri, saya tidak berjanji ketika itu, namun saya berazam untuk menyelesaikan isu hak milik tanah ini.
"Penyerahan hak milik tanah ini bakal memberi impak besar kepada peneroka ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Majlis Hari Raya Aidilfitri Kesedar 2025 di Dataran Awam Kampung Jerek, di sini, pada Isnin.
Hadir sama ialah Pengerusi Kesedar, Datuk Zawawi Othman, ADUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim.
Menurut beliau, pemberian hak milik tanah ini menjadi satu ‘game changer’ buat peneroka yang sudah menanti lebih 40 tahun.
Ujarnya, Kesedar sudah membayar premium tanah kepada kerajaan negeri.
Ahmad Zahid memberitahu, ia tanah yang dipecah lot kepada para peneroka dan akan menyerahkan geran berkenaan kepada semua selepas Borang 14A disiapkan dan ia akan dibuat secara berperingkat dimana hari ini ia hanyalah sebagai simbolik.
Dalam perkembangan lain Ahmad Zahid turut mengumumkan beberapa lagi ‘durian runtuh’ untuk penduduk Nenggiri, termasuk pembinaan Masjid Mukim Jerek dengan peruntukan RM1.5 juta yang disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
Selain itu, beliau memaklumkan projek pembinaan Jambatan Batu 10 di Nenggiri turut diluluskan dengan peruntukan RM2 juta melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
"Beberapa lagi permohonan yang dikemukakan oleh ADUN Nenggiri turut diluluskan, antaranya PPRS (Progr am Perumahan Rakyat Sejahtera) pembinaan baharu dan baik pulih rumah.
"Ia akan diteliti menerusi senarai e-Kasih bagi memastikan mereka yang layak mendapat peluang mendiami rumah tersebut," katanya.
Menurut beliau usaha ini membuktikan komitmen kerajaan untuk terus membela nasib rakyat di kawasan luar bandar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!