Pahang tumpu aktifkan semula koperasi tidak aktif

Amizar (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada Pengerusi Koperasi Serbaguna Dara Bhd, Datuk Idros Yahya (dua dari kiri) pada Majlis Apresiasi Koperasi Terbaik Pahang 2025.
Amizar (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada Pengerusi Koperasi Serbaguna Dara Bhd, Datuk Idros Yahya (dua dari kiri) pada Majlis Apresiasi Koperasi Terbaik Pahang 2025.
A
A
A

BENTONG - Kerajaan negeri akan memberikan tumpuan untuk mengaktifkan semula 30 daripada 125 koperasi tidak aktif di seluruh Pahang.

Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, ia antara langkah untuk memperkasa sektor koperasi yang menjadi nadi kepada pembangunan ekonomi rakyat.

Menurutnya, penilaian semula akan dilakukan untuk melihat kebarangkalian koperasi terbabit untuk diaktifkan.

"Langkah ini dilakukan kerana hendak tubuh koperasi bukan senang, makan bertahun.

"Akhirnya hendak mansuhkan itu sangat mudah, jadi sebab itu kita nilai semula kira-kira 30 koperasi untuk peringkat awal kerana jumlah terkini sehingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 125 koperasi dikenal pasti tidak aktif di Pahang," katanya pada Majlis Apresiasi Koperasi Terbaik Pahang 2025 di Dewan Perdana Kompleks Penjara di sini pada Isnin.

Penggiat koperasi yang diraikan pada Majlis Apresiasi Koperasi Terbaik Pahang 2025 bergambar kenangan bersama Amizar.
Penggiat koperasi yang diraikan pada Majlis Apresiasi Koperasi Terbaik Pahang 2025 bergambar kenangan bersama Amizar.

Turut hadir, Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Siti Azlin Ahmad Dauta dan Pengarah SKM Pahang, Ibrahim Husain.

Jelasnya, punca ketidakaktifan koperasi terbabit kebanyakannya kerana masalah pengurusan iaitu kewangan.

Artikel Berkaitan:

"Ini antara masalah utama koperasi-koperasi iaitu pengurusan kewangan mereka yang mungkin tidak tersusun dan tidak dibuat dengan rapi," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu sektor pelancongan antara sektor terbaharu yang dilihat berpotensi untuk diteroka bagi koperasi-koperasi di Pahang.

Mengulas pencapaian koperasi di Pahang, beliau mengakui penurunan hasil perolehan iaitu RM979 juta tahun lalu berbanding sasaran yang ditetapkan RM1 bilion.

"Namun jumlah koperasi yang tersenarai dalam 100 dan 350 terbaik meningkat dan insya-ALLAH untuk tahun ini kita sasarkan untuk meraih kembali RM1 bilion," tambahnya.

Sebanyak 37 koperasi di Pahang tersenarai sebagai penerima Anugerah Koperasi Terbaik Top 350 dan 11 lagi koperasi dalam kategori Top 100 untuk 2024.

Koperasi Serbaguna Dara Bhd muncul koperasi terbaik di Pahang dengan meraih kedudukan ke-18 dalam Top 100 dengan hasil perolehan sebanyak RM49 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!