Kadar kemalangan, kematian di tempat kerja menurun

Steven (depan, tengah) meluangkan masa berkunjung ke reruai pameran selepas Majlis Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di Cyberjaya pada Isnin. Foto: Bernama
Steven (depan, tengah) meluangkan masa berkunjung ke reruai pameran selepas Majlis Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di Cyberjaya pada Isnin. Foto: Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Kemalangan dan insiden kematian di tempat kerja menunjukkan trend penurunan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Kee Cheong berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) merekodkan penurunan 17 peratus bagi kecederaan pekerjaan, manakala hampir 40 peratus bagi kematian.

"Ini merupakan satu pencapaian yang amat ketara. Saya bangga dengan JKKP dan warga Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), tetapi hasrat kita adalah visi sifar kemalangan," katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja (World OSH Day) 2025 di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia, di sini yang bertemakan 'Merevolusikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan: Peranan Kecerdasan Buatan (AI) dan Pendigitalan di Tempat Kerja'.

Pada Mac 2023, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merekodkan penurunan kadar kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja dan kemalangan industri.

Menurut PERKESO, sebanyak 26 majikan telah terkeluar daripada senarai 100 majikan tertinggi kemalangan PERKESO dalam kemalangan perjalanan ke tempat kerja.

Sementara itu, Steven berkata, aplikasi teknologi terkini memberi kesan langsung kepada kecekapan pengurusan maklumat dan risiko pekerjaan dalam aspek keselamatan serta kesihatan di tempat kerja.

Jelasnya, penggunaan teknologi dron, Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) oleh pegawai JKKP meningkatkan keupayaan kejuruteraan forensik, penguatkuasaan tapak bina dan penyiasatan kemalangan di lapangan, terutamanya apabila melibatkan lokasi yang tinggi dan sukar diakses.

Artikel Berkaitan:

"Dron itu akan mengenal pasti secara automatik ketidakpatuhan keselamatan di lokasi dan akan memberi maklum kepada pegawai bertugas untuk mengambil tindakan selanjutnya," ujarnya.

Tambahnya, sebanyak 800 penerbangan dron telah dilaksanakan pada tahun lalu bagi tujuan pemantauan dan siasatan.

"Sebanyak 119 notis telah dikeluarkan berdasarkan pemantauan menggunakan kaedah dron.

"Ini merupakan antara penambahbaikan yang kita lakukan di bawah Kementerian Sumber Manusia secara amnya, khususnya untuk JKKP selaras dengan perkembangan teknologi AI dan digitalisasi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!