Semangat cintakan negara makin menipis?

PEMAKAIAN lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid yang mula dikuatkuasakan di semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mungkin dilihat remeh oleh sesetengah pihak.
Namun ia merupakan langkah permulaan yang penuh makna dalam menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Meskipun pada awal cadangan itu diumumkan ada yang mengkritik mengatakan ia satu pembaziran, namun dengan timbulnya isu kekhilafan Jalur Gemilang baru-baru ini, ia amat tepat pada waktunya.
Pemakaian lencana Jalur Gemilang menjadi satu bentuk pendidikan tidak langsung kepada murid tentang pentingnya mengenali dan menghargai simbol negara sampai bila-bila. Bagaimana mungkin seseorang yang memiliki MyKad biru, mempunyai lambang sah sebagai warganegara Malaysia, masih tidak mengenali bendera negaranya sendiri?
Oleh sebab itulah pelbagai suara kemarahan kerana kekecewaan telah dizahirkan pelbagai pihak. Tidak kiralah apa saja alasannya, kesilapan seumpama itu langsung tidak boleh diterima. Hakikatnya, ini bukanlah soal perkauman atau sentimen politik, tetapi soal asas sebagai rakyat Malaysia yang seharusnya mengenali dan menghormati identiti negaranya sendiri. Jika dibiarkan tanpa ada tindakan sewajarnya, ia dikhuatiri dilihat sebagai perkara biasa yang boleh diselesaikan dengan sekadar permohonan maaf.
Insiden yang berlaku mungkin dilihat kecil bagi segelintir pihak, tapi impaknya besar apabila dikaitkan dengan jati diri dan rasa cinta terhadap negara. Dalam konteks ini, boleh dipersoalkan sejauh mana rakyat Malaysia khususnya generasi muda benar-benar telah memahami dan menghayati simbol-simbol kebangsaan kita.
Adakah Jalur Gemilang hanya sekadar sehelai kain dengan warna merah, putih, biru dan kuning atau adakah ia benar-benar membawa makna kemerdekaan, perjuangan dan perpaduan? Apa yang terjadi boleh dijadikan ‘wake-up call’ semua untuk memikirkan adakah sikap kenegaraan dalam diri setengah daripada kita sudah semakin menipis?
Itu soal Jalur Gemilang, bagaimana pula tahap penguasaan bahasa Melayu setiap daripada rakyat di negara ini? Walaupun negara Malaysia sudah merdeka sejak tahun 1957, penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat masih belum memuaskan.
Lebih mengecewakan apabila ada dalam kalangan pemimpin pun yang masih tergagap-gagap berbahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi negara dan simbol penting perpaduan nasional. Tanpa kefahaman dan penguasaan bahasa yang sama, bagaimana kita mahu membina jati diri kebangsaan yang kukuh?
Maka, usahlah terlalu cepat menolak pemakaian lencana Jalur Gemilang pada baju sekolah anak-anak kerana ia permulaan melahirkan generasi yang cintakan negara. Isu anak tercucuk jarum pin atau baju serta tudung rosak akibat lubang kecil, tidaklah setajam pedihnya melihat Jalur Gemilang yang merupakan lambang kedaulatan negara seakan-akan hilang tempatnya dalam jiwa generasi muda.
Pesanan seorang bapa berbangsa Cina, Ng Chee Kean kepada anaknya tentang pentingnya menjaga baju sekolah yang dipakai bermula dari sekarang kerana adanya lencana Jalur Gemilang di situ boleh dijadikan contoh. Pesanannya supaya menjaga pakaian itu elok-elok dengan memastikannya tidak kotor dan diletakkan di lantai, ringkas tapi penuh makna. Dengan tersematnya Jalur Gemilang di dada, dia turut berpesan supaya anaknya memberi keutamaan kepada bahasa Melayu.
Yang pastinya, lencana Jalur Gemilang yang kecil itu boleh membawa impak besar terutama dalam melahirkan generasi cintakan negara. Ia juga satu peringatan kepada semua bahawa menjadi rakyat Malaysia bermakna kita perlu tahu, faham dan bangga dengan segala yang menjadi identiti negara ini.
*Syamilah Zulkifli ialah wartawan Sinar Harian Biro Negeri Sembilan & Melaka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

