Pemaju ‘cap ayam’, bincang minta lepaskan projek - Johari

Johari.
Johari.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Penduduk dicadangkan berbincang dengan pihak pemaju supaya menyerahkan projek pembangunan di Kampung Sungai Baru kepada syarikat yang lebih dipercayai mereka.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, saranan itu bagi mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap usaha pembangunan tersebut, sekali gus mempercepatkan urusan projek berkenaan.

“Saya cadangkan supaya penduduk termasuk persatuan kawasan tersebut. Jika nampak pemaju ini ‘cap ayam’, cuba berbincang dengan mereka supaya lepaskan projek ini dan bagi kepada UDA Holdings Berhad (UDA).

“Kalau UDA tidak mahu buat, mungkin boleh cari Sime Darby Property atau Tabung Haji (TH) Properties Sdn Bhd, supaya orang yakin.

“Sama ada orang beli atau tidak, projek ini akan siap,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah audio siar milik media tempatan secara langsung pada Ahad.

Projek pembangunan di Kampung Sungai Baru melibatkan 382 unit membabitkan 64 lot teres dan 264 unit flat.

Sebelum ini media melaporkan polemik timbul susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan yang diperoleh.

Artikel Berkaitan:

Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama di antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.

Ujar Johari, apa yang penting ketika ini adalah untuk memastikan supaya projek pembangunan tersebut tidak dikategorikan sebagai terbengkalai.

“Kebanyakkan pemaju swasta terutama yang mempunyai kewangan tidak kukuh, banyak guna nama orang Melayu tetapi nama sebenar pemaju tidak nampak sangat, itu bahaya.

“Berapa banyak projek terbengkalai dalam industri pembangunan hartanah (disebabkan masalah tersebut), sebab itu kena berhati-hati.

“Apabila terbengkalai, ia akan jadi satu masalah besar, sebab itu saya sentiasa memastikan supaya tidak salah pilih syarikat pemaju atau kontraktor,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!