Covid-19: Patuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Orang ramai dinasihatkan agar menggunakan topeng muka itu ketika berada atau mengunjungi tempat terbuka terutama tempat tumpuan umum bagi mengelak jangkitan berkenaan. -Foto Bernama
Orang ramai dinasihatkan agar menggunakan topeng muka itu ketika berada atau mengunjungi tempat terbuka terutama tempat tumpuan umum bagi mengelak jangkitan berkenaan. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua majikan dan pekerja diingatkan supaya mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 serta mengambil langkah-langkah kawalan bagi mencegah penularan jangkitan koronavirus (Covid-19).

Menurut Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan di sini hari ini, majikan perlu menjalankan penilaian risiko dan menambah baik prosedur kerja bagi memastikan pendedahan risiko kepada virus itu dapat dikurangkan.

Kenyataan itu turut menggariskan majikan perlu mengenal pasti pekerja yang telah melawat negara yang terkesan dengan virus Covid-19 dengan membuat pemantauan kesihatan terhadap pekerja yang terbabit terutama jika mereka mempunyai gejala seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas untuk mendapatkan rawatan segera.

“Pihak majikan hendaklah mematuhi arahan kuarantin yang dikeluarkan ke atas pekerjanya oleh pengamal perubatan berdaftar atau pihak berkuasa berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, majikan dan pekerja yang ingin melawat negara yang terkesan dengan virus berkenaan atas urusan rasmi atau peribadi dinasihat agar menangguhkan perjalanan mereka kecuali atas urusan penting yang tidak dapat dielakkan.

Semua majikan juga perlu menyediakan alat pelindung diri yang bersesuaian kepada pekerja berdasarkan penilaian risiko yang telah dijalankan.

Kementerian Kesihatan hari ini menyatakan sehingga 12 tengah hari Rabu (4 Mac), terdapat 14 kes baharu Covid-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif di Malaysia meningkat kepada 50 kes.

Menurut Kementerian Sumber Manusia, berdasarkan Seksyen 15 (1) AKKP 1994, adalah menjadi kewajipan setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya.

Artikel Berkaitan:

“...jika didapati melanggar peruntukan di bawah Seksyen ini boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” jelas kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan atau aduan, orang ramai boleh menghubungi pejabat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan negeri melalui telefon atau e-mel dengan merujuk kepada laman web jabatan www.dosh.gov.my. - Bernama