Petugas TH bersedia sambut ketibaan jemaah haji Malaysia

MADINAH – Pasukan petugas Lembaga Tabung Haji (TH) telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang dijadualkan pada 29 April ini untuk mengerjakan ibadah haji bagi tahun 1446H/2025M.
Jemaah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz, Madinah pada jam 7.50 pagi waktu tempatan menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Naib Konsul Haji merangkap Pengarah Operasi Madinah, Affandi Abdullah berkata, persiapan akhir telah dibuat walaupun pelbagai rintangan dihadapi sebelum ini.
Menurutnya, seramai 122 petugas ditempatkan bagi sektor Madinah dan TH masih menunggu kedatangan 70 petugas termasuk petugas kesihatan bagi menyantuni jemaah haji.
“Petugas kebajikan dan perubatan akan ditempatkan bersama-sama jemaah haji di tiga bangunan sekitar manakala selebihnya di Roha al Madinah.
“Segala persiapan berjalan lancar dan semangat serta kerjasama semua petugas sangat tinggi,” katanya ketika sidang akhbar di Hotel Emaar Royal, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Affandi berkata, sepanjang di Madinah, jemaah akan ditempatkan di dua zon utama penginapan iaitu Zon 1 melibatkan Hotel Anwar al Madinah Movenpick dan Hotel Saja Al Madinah, manakala Zon 2 menempatkan jemaah di Hotel Emaar Royal.
“Bagi kumpulan pertama, mereka akan ditempatkan di Hotel Emaar Royal yang terletak hanya 300 meter dari Masjid Nabawi dan mampu memuatkan sehingga 1,800 jemaah pada waktu puncak,” jelasnya.
Tambahnya, jemaah akan berada di Madinah selama enam hari dan dijadual menyertai aktiviti ziarah dalam serta luar.
Ujarnya, selain aktiviti ziarah, jemaah juga akan mengikuti sesi ulang kaji ibadah haji sebagai persediaan rohani dan fizikal sebelum bergerak ke Makkah pada hari ketujuh.
“Musim haji tahun ini melibatkan dua fasa kemasukan jemaah ke Madinah, kira-kira 45 peratus akan tiba lebih awal manakala selebihnya selepas selesai wukuf di Arafah,” katanya.
Dalam pada itu, TH turut menyediakan perkhidmatan kesihatan, kaunseling, kewangan dan khidmat pelanggan kepada semua jemaah sepanjang mereka berada di Tanah Suci.
Jemaah haji diingatkan agar menjaga kesihatan dan kekal terhidrat kerana cuaca panas dan kering dijangka berterusan sepanjang musim haji tahun ini.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dijadualkan bermula 29 April manakala penerbangan terakhir adalah pada 1 Jun depan, dengan hari wukuf iaitu 9 Zulhijjah dijangka pada Khamis, 5 Jun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!