Ramai tidak tahu hidap kencing manis - Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly (tengah) melawat reruai yang mempamerkan bahan ubatan yang tidak disaran oleh KKM
Dr Dzulkefly (tengah) melawat reruai yang mempamerkan bahan ubatan yang tidak disaran oleh KKM
A
A
A

KOTA BHARU - "Jangan sampai semut yang memberitahu kita menghidap kencing manis."

Demikian tegas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengenai rakyat Malaysia khususnya penduduk Kelantan yang tidak tahu mereka sebenarnya menghidap kencing manis.

Katanya, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati, ramai rakyat Malaysia yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) secara senyap.

"Khusus untuk golongan dewasa di Kelantan sahaja satu daripada enam atau 16.3 peratus menghidap diabetes manakala satu daripda tiga atau 27.9 peratus ada tekanan darah tinggi dan satu daripada dua atau 51.6 peratus mempunyai berat badan berlebihan atau obes," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Madani Afiat Peringkat Negeri Kelantan 2025 pada Sabtu.

Dr Dzulkefly memberitahu, satu daripada tiga atau 34.9 peratus mempunyai kolesterol tinggi, satu daripada empat atau 23.2 peratus tidak aktif fizikal dan satu daripada lima atau 21.4 peratus merupakan perokok.

Jelas beliau lagi, kebanyakan mereka diserang penyakit berkenaan akibat dua faktor iaitu pemakanan yang tidak sihat dan kurang aktiviti fizikal.

Kata beliau lagi, setiap rawatan memerlukan kos tinggi yang mungkin boleh membelenggu pesakit.

"Contohnya, buah pinggang yang rosak memerlukan hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu dan perlu membayar sebanyak RM200 hingga RM400.

Artikel Berkaitan:

"Jika tiga kali seminggu, 52 minggu setahun, kosnya RM31,000 diperlukan dan jumlah ini boleh membeli sebuah kereta Axia Rahmah," katanya.

Justeru, beliau berharap rakyat Malaysia peka dengan kesihatan dan pemakanan kerana kos perubatan yang semakin meningkat.

Dalam perkembangan lain, KKM menyerahkan kepada pihak pengurusan tertinggi mengenai kakitangannya yang didakwa mengkritik kementerian itu selepas biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza membuat persembahan sempena majlis sambutan hari raya kementerian berkenaan.

Kakitangan berkenaan dipercayai mengeluarkan kritikan pada ruangan komen di Facebook kementerian itu.

Dr Dzulkefly bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

"Saya serahkan kepada pihak atasan di kementerian. Saya sebagai menteri tidak mahu mengulas lanjut dan serahkan kepada mereka.

"Saya juga mahu perkara ini diharmonikan segera," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!