Hari rehat mingguan anggota bomba dimuktamad dalam masa terdekat - KP JPA

KUALA PILAH - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan memuktamadkan pelaksanaan hari rehat mingguan (HRM) bagi anggota bomba dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, keputusan mengenainya akan dibuat selepas mengadakan sesi urus dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurutnya, keputusan tidak boleh dibuat secara teresa-gesa sebaliknya penelitian rapi perlu dibuat bagi mengelak sebarang masalah selepas sistem itu dilaksanakan.
"Cadangan JBPM ini baru JPA terima daripada KPKT dan kita akan kenal pasti dulu perkara yang boleh dibantu untuk permohonan mereka.
"Sekiranya permohonan tersebut ada asas yang kukuh dan jelas, tidak ada sebab untuk tidak membenarkan," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani JPA, Sekolah Angkаt Madani dan Sambutan Hari Raya Bersama Penduduk Kampung Seri Menanti.
Pada Jumaat, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa JPA tidak membuat penangguhan pelaksanaan HRM bagi anggota bomba yang dijadualkan bermula 1 Mei ini.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat, berkata HRM adalah inisiatif penting bagi memastikan kesejahteraan anggota bomba yang selama ini menunjukkan tahap dedikasi dan pengorbanan tinggi dalam memastikan keselamatan rakyat serta negara.
Mengulas perkara itu, Wan Ahmad Dahlan memohon JPA diberikan masa untuk menyelesaikan perkara itu secara tuntas dan terperinci.
"Sebenarnya JBPM yang agak awal memaklumkan perkara tersebut akan dilaksanakan pada 1 Mei sedangkan perbincangan tidak pernah dibuat pun sebelum ini.
"Saya mohon kepada Cuepacs supaya bersabar sedikit kerana di dalam kita melaksanakan apa juga dasar baharu penelitian menyeluruh perlu dilakukan supaya tidak berlaku keadaan di mana kita perlu membatalkannya semula sebaik ia dilaksanakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

