Sembilan lelaki ditahan simpan burung dilindungi tanpa lesen

Antara burung yang dirampas dalam serbuan di serbuan kebun kelapa sawit di Hulu Dungun. Gambar Perhilitan
Antara burung yang dirampas dalam serbuan di serbuan kebun kelapa sawit di Hulu Dungun. Gambar Perhilitan
A
A
A

DUNGUN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menahan sembilan lelaki yang disyaki menyimpan burung dilindungi tanpa lesen dalam satu serbuan di sebuah kebun sawit di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun, di sini.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, dalam serbuan pada 11 April lalu, pihaknya turut merampas 29 ekor burung terdiri daripada 15 ekor burung dipercayai serindit manakala bakinya disyaki burung bayan puling.

Menurutnya, semua individu berkenaan ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen atau lesen pemilikan sah terhadap burung-burung tersebut.

"Kesemua mereka kini disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana memiliki hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran sah," katanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang awam agar tidak sewenang-wenangnya mengambil atau menyimpan hidupan liar tanpa mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa.

Tambah beliau, tindakan tegas akan terus diambil bagi mengekang aktiviti pemilikan, pemeliharaan atau penjualan hidupan liar secara haram di negeri ini.

“Sebelum memelihara mana-mana haiwan atau burung, orang ramai disaran membuat semakan dengan pihak Perhilitan terlebih dahulu untuk mengetahui sama ada lesen diperlukan atau tidak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!