JDT miliki pakej lengkap, Pahang tampil lebih berdisiplin - Josue

Paulo Josue
Paulo Josue
A
A
A

PAKEJ lengkap yang dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam setiap posisi menjadi tunjang kekuatan skuad Harimau Selatan untuk terus mengekalkan dominasi mereka dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Penyerang Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue menyifatkan keutuhan pasukan kendalian Héctor Bidoglio itu sebagai faktor utama yang meletakkan mereka di landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan, meskipun berdepan cabaran daripada Sri Pahang dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.

Namun begitu, Josue berpendapat laluan JDT ke takhta kejuaraan tidak akan semudah, lebih-lebih lagi apabila berdepan Sri Pahang kendalian Fandi Ahmad yang dijangka tampil berdisiplin dan teratur dalam permainan biarpun tanpa dua tonggak utama, Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo.

“Perlawanan ini dijangka berlangsung sengit, khususnya pada separuh masa pertama apabila JDT dijangka cuba mendapatkan jaringan awal. Pada ketika itu, Pahang pula akan memberi fokus kepada usaha menyerap tekanan dan melancarkan serangan balas pantas,” ujar Josue kepada Sukan Sinar.

Tambah pemain kelahiran Brazil juga Penyerang Terbaik Kasut Emas Liga Super Tempatan Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025 itu, kelebihan fizikal dan mental yang dimiliki JDT dalam mengharungi perlawanan berintensiti tinggi akan mula ketara pada separuh masa kedua, sekali gus membuka peluang untuk mereka menguasai permainan.

“Separuh masa kedua dijangka lebih memihak kepada JDT. Dengan pengalaman serta kecergasan pemain yang mantap, saya percaya gol akan hadir menerusi dua tonggak utama – Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi.

“Arah tuju perlawanan akhir ini banyak bergantung kepada bagaimana JDT memulakan permainan. Jika mereka dapat mengawal rentak dari awal, sukar untuk Pahang bangkit.

"Namun sekiranya Pahang berjaya memberi tekanan berterusan, mereka juga berpotensi mencipta kejutan,” kata pemain naturalisasi negara itu yang menjangkakan JDT akan menamatkan perlawanan dengan kemenangan 2-0 hasil jaringan Bergson dan Arif Aiman pada separuh masa kedua.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!